Jumaat, 4 Disember 2009

Mangsa kelima gelombang ke-3

Oleh Hamid Salleh


KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar Tingkatan Dua dari Felda Kertih Lima, Dungun, lemas ketika menyelam untuk melihat ikan di pukat yang ditangkapnya di kawasan ladang kelapa sawit di penempatan itu, petang kelmarin.

Mangsa kelima di Terengganu akibat banjir yang sudah memasuki gelombang ketiga di Pantai Timur kelmarin, Muhammad Afiq Mohd Roadzi, 14, bersama dua rakan dikatakan memasang pukat di kawasan itu, kira-kira jam 3 petang dan datang semula, kira-kira jam 4.30 petang untuk mengambil ikan yang tersangkut di pukat.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Dahlan Mohd Nor, berkata mangsa turun ke dalam air banjir sedalam satu meter di kawasan ladang itu dan menyelam untuk mengambil ikan di pukat.

Katanya, apabila mangsa tidak timbul semula, dua rakannya yang panik pulang ke rumah dan memberitahu kejadian itu kepada keluarganya untuk mendapatkan bantuan.

Beliau berkata, polis yang diberitahu mengenai kejadian itu melancarkan gerakan mencari bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) dan beberapa peneroka di kawasan itu sehingga tengah malam tetapi gagal menjumpai mangsa.

Mohd Dahlan berkata, bapa mangsa, Mohd Roadzi Mohd Nor, 47, membuat laporan mengenai kejadian itu di Balai Polis Ketengah Jaya, kira-kira jam 12.37 tengah hari semalam.

Katanya, mayat mangsa ditemui pada jam 6 petang satu meter di tempat kejadian.

Sebelum ini, empat mangsa lemas dilaporkan berlaku di Terengganu sejak banjir melanda negeri ini awal bulan lalu, iaitu masing-masing satu di Hulu Terengganu dan Besut serta dua di Marang.

Sementara itu jumlah mangsa gelombang ketiga banjir di negeri ini yang terpaksa dipindahkan meningkat kepada 2,649 orang daripada 579 keluarga di 49 pusat pemindahan sehingga jam 5 petang semalam, berbanding 1,549 orang daripada 336 keluarga di seluruh negeri kelmarin.

Jurucakap bilik gerakan Majlis Keselamatan Negara (MKN), berkata daerah Kemaman mencatatkan jumlah mangsa paling ramai dipindahkan iaitu 923 orang daripada 207 keluarga, diikuti Dungun (618 orang, 130 keluarga); Kuala Terengganu (384 orang, 77 keluarga; Marang (364 orang, 85 keluarga); Hulu Terengganu (70 orang, 18 keluarga) dan Setiu (58 orang, 17 keluarga).

Di KUANTAN: Tujuh keluarga, masing-masing empat keluarga dari Kampung Sungai Ular dan tiga keluarga di Chendor, dekat ini dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Cherating, semalam.

Di KOTA BHARU, Seramai 42 mangsa banjir masih ditempatkan di dua pusat pemindahan banjir membabitkan dua jajahan iaitu Pasir Puteh dan Kota Bharu.

Tiada ulasan: