Jumaat, 4 Disember 2009

Zalina wanita pertama dunia terbangkan Borbardier

BERITA HARIAN ONLINE


KEPTEN Maritim (M), Zalina Sungip, 41, juruterbang Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bakal menempa nama menjadi wanita pertama dunia menerbangkan pesawat amfibia Bombardier 415MP.

Perkara itu disahkan Presiden Amphibious and Specialized Aircraft, Michel Bourgeois, berdasarkan data jualan oleh syarikat pengeluar pesawat berkenaan, Bombardier Inc, baru-baru ini.

Malah Malaysia juga sebelum ini muncul sebagai satu-satunya negara di rantau ini yang memiliki kelengkapan seumpama itu.

Zalina ketika ini sudah menjalani latihan peralihan daripada juruterbang pesawat sayap kaku kepada pesawat amfibia selama sebulan dan bakal ditauliahkan secara rasmi sebagai juruterbang pesawat berkenaan dalam sedikit masa lagi.

Beliau juga terbabit membuat persembahan bersama pesawat Bombardier di Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2009 (Lima'09) sejak 1 Disember lalu.

Zalina berkata, selepas kira-kira 13 tahun berkhidmat dalam Skuadron 16 Maritim Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) beliau masih merasai keghairahan menerbangkan pesawat dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan kemahirannya berbakti kepada negara.

“Saya tidak pernah bosan atau letih untuk terbang kerana bagi saya ini kerjaya pilihan dan saya akan terus berkhidmat selagi ada hayat.

“Saya gembira apabila dapat memenuhi impian menerbangkan pesawat seumpama ini di APMM walaupun pengalaman agak berbeza jika dibandingkan dengan tugas saya sebagai anggota TUDM sebelum ini.

“Ketika di TUDM tugas yang saya pikul lebih kepada fungsi strategik berbanding sekarang yang lebih kepada penguatkuasaan dan tugasan mencari dan menyelamat (SAR),” katanya ketika ditemui di tapak pameran Udara Lima '09, di sini, semalam.

Beliau berkata, ketika di TUDM beliau mempunyai pengalaman mengendalikan pesawat seperti Pilatus PC7, Cessna 402B, Beech Craft B200T dan Cessna 172 sebelum beralih arah ke APMM. Sepanjang itu juga beliau pernah memainkan peranan penting dalam isu sempadan negara dengan beberapa negara jiran bagi memastikan urusan di peringkat diplomatik berjalan lancar.

Ibu kepada dua anak itu juga bersyukur, kerana sentiasa mendapat sokongan daripada suami, Kafil Araei Abdullah, 40, yang memahami tugasnya yang memerlukan komitmen tinggi sepanjang masa.

“Suami amat memahami kerjaya dan minat saya dan beliau sentiasa memberi galakan asalkan saya melakukannya dengan penuh minat,” katanya.

Tiada ulasan: