Jumaat, 11 Disember 2009

Gerakan pertikai keputusan MT Umno

BERITA HARIAN ONLINE


GEORGETOWN: Gerakan Pulau Pinang kecewa dengan keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno menarik balik penggantungan hak dalam parti selama tiga tahun bekas Ketua Umno Bahagian Bukti Bendera, Datuk Ahmad Ismail.

Dalam satu kenyataan media semalam, parti itu terkejut dengan keputusan berkenaan dan menganggap ia bertentangan dengan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Walaupun ini hal dalaman parti, Umno perlu memberikan penjelasan kepada orang ramai berikutan isu itu membangkitkan rasa bimbang kerana menyentuh sensitiviti perkauman.

Kami akan terus memainkan peranan mengikut mekanisme digunakan demi kebaikan orang ramai, kata kenyataan itu.

MT Umno dalam mesyuaratnya Jumaat lalu membatalkan hukuman selama tiga tahun terhadap Ahmad berkuat-kuasa 10 September tahun lalu.

Hukuman dikenakan terhadapnya kerana mencetuskan kontroversi dengan kenyataan menyentuh sensitiviti kaum.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Gerakan Pulau Pinang harus menerima keputusan MT Umno.

Katanya, mereka tidak perlu kecewa dengan keputusan berkenaan memandangkan Gerakan sendiri tidak mengambil tindakan terhadap Ketua Wanitanya, Datuk Tan Lian Hoe yang berkata orang Melayu bukan penduduk asal negara ini.

Tiada ulasan: