Jumaat, 11 Disember 2009

106 terima anugerah Sultan Selangor

Tuanku Muhriz ketuai senarai penerima darjah sempena Hari Keputeraan ke-64

Oleh Tuan Nazuri Tuan Ismail


SHAH ALAM: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mengetuai senarai 106 penerima anugerah, darjah dan bintang kebesaran sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-64 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini.

Tuanku Muhriz dikurniakan Darjah Kebesaran Yang Amat Dihormati (DK) pada Istiadat Pengurniaan Anugerah, Darjah dan Bintang Kebesaran yang akan diadakan di Istana Alam Shah, Klang, esok.

Kerabat Diraja Selangor, Tengku Indera Setia Selangor, Tengku Ahmad Shah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pula dikurniakan Darjah Kerabat Selangor Kedua (DKII).

Dua penerima Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) yang membawa gelaran Datuk Seri iaitu Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan tokoh pendidikan terkenal juga Pro Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Arshad Ayub.

Anakanda Sultan Selangor, Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Pengerusi Ranhill Berhad yang juga bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Sallehuddin Mohamed menerima Darjah Kebesaran Datuk Seri Sultan Sharafuddin Idris Shah (SSIS) yang membawa gelaran Datin Paduka Setia dan Datuk Setia.

Empat belas menerima Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (DPMS) yang membawa gelaran Datuk dan Datin Paduka bagi wanita diketuai Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad; Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Mohammed Noordin Ali; Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Bahagian Staf Perisikan Pertahanan Markas Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Abdul Hadi Hussin; tokoh sejarah dan Pesuruhjaya Suhakam, Prof Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.

Timbalan Ketua Setiausaha 1, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Nurmala Abd Rahim; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Putra Malaysia, Prof Dr Abu Bakar Salleh; Profesor Kanan, Pengarah Pusat Bio-IT Universiti Industri Selangor (Unisel), Prof Dr Abdul Latip Ibrahim; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Mazalan Md Noor; Pengarah Jabatan Perancang Bandar dan Desa Selangor, Mohd Jaafar Mohd Atan.

Penerima lain, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Berhad, Abdul Rahman Ahmad; Naib Presiden Eksekutif, Sime Darby Berhad, Mohamed Ishak Abdul Hamid; Pengarah Urusan Ramly Food Processing, Ramly Mokni; Pakar Perunding Perubatan, Dr Zainudin Md Zin dan Pakar Perunding Obstetrician dan Ginecologi, Dr Sundraledchimy Maheswaran.

Enam belas menerima Darjah Kebesaran Datuk Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) yang membawa gelaran Datuk dan Datin Paduka bagi wanita diketuai Orang Besar Daerah Kuala Selangor, Mohamad Yaacob Ismail; Timbalan Ketua Setiausaha II Kementerian Luar, Zainol Abidin Omar; Pengarah Kor Perkhidmatan Diraja Markas Tentera Darat, Brig Jeneral Datuk Nordin Rahok; Asisten Ketua Staf Sumber Manusia, Markas Tentera Laut, Laksamana Pertama Anuwar Mad Said.

Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja, Datuk Sabtu Awam; Pengarah Audit Selangor, Ungku Arfah Ungku Md Tahir; Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Sidek Baba; Pengarah Public Bank Berhad, Datuk Mohamed Ishak Mohamed Ariff; Pegawai Daerah Pejabat Daerah Kuala Langat, Asmawi Kasbi; Pengarah Charivari Agreable, Dr Ng Kah Ming.

Pensyarah Fakulti Kejuruteraan UPM, Hajeedar Abdul Majid, Presiden Persatuan Alumni Brinsford Malaysia, Anthony Reynolds Peter; Naib Presiden Eksekutif 1 Permodalan Nasional Berhad (PNB), Jamiah Abdul Hamid; Naib Presiden Majlis Kebajikan Masyarakat Kebangsaan Malaysia, Khatijah Sulaiman; Pemerintah Negeri St John Ambulans Selangor, Yeo Kim Thong dan Pengarah Urusan Kembang Serantau Sdn Bhd (Kumpulan Zikay), Iszhar Ibrahim.

Tiada ulasan: