Selasa, 1 Disember 2009

Bekas anggota PKM berkumpul di Hatyai

BERNAMA


HATYAI - Ratusan bekas anggota Parti Komunis Malaya (PKM) yang diharamkan dan perunding keamanan berkumpul di sini hari ini bagi meraikan sambutan ulang tahun ke-20 pemeteraian bersejarah Perjanjian Keamanan antara PKM dengan kedua-dua kerajaan Malaysia dan Thailand.

Acara sehari, yang diadakan di Lee Garden Hotel, tempat sama wakil-wakil kerajaan dua negara berjiran itu menandatangani perjanjian dengan PKM pada 2 Disember 1989 yang menamatkan kempen bersenjata komunis, turut dihadiri bekas setiausaha agung PKM Chin Peng, 85.

Turut hadir beberapa pemimpin utama PKM yang terlibat dalam perang gerila di hutan dengan pasukan keselamatan Malaysia dan Thailand sehinggalah perjanjian damai itu ditandatangani pada 1989.

Menurut seorang anggota jawatankuasa penganjur, kira-kira 800 orang dijemput bagi menghadiri acara itu, termasuk pegawai kanan kerajaan dan wakil rakyat pembangkang dari kedua-dua negara Thailand dan Malaysia.

Beliau berkata, Persatuan Persahabatan Abad ke-21 Malaysia, yang terdiri daripada bekas anggota PKM yang telah menetap di Malaysia selepas perjanjian damai, menganjurkan pertemuan semula itu.

"Kami telah mengadakan perhimpunan tahunan bagi bekas anggota di Malaysia selama beberapa tahun. Tetapi ini merupakan kali pertama kami melakukannya di Hatyai," kata beliau.

Tiada ulasan: