Selasa, 1 Disember 2009

Sasaran kadar kematian nahas jalan raya turun 50 peratus 2010

UTUSAN ONLINE


SEREMBAN - Kerajaan melalui Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2006-2010 menyasarkan pengurangan sebanyak 50 peratus kadar kematian akibat kemalangan jalan raya menjelang 2010.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, sasaran tersebut boleh dicapai dengan adanya perancangan sistematik dan fokus oleh jabatan dan agensi terbabit.

''Setakat ini kita berjaya mengurangkan jumlah kecederaan akibat kemalangan jalan raya membabitkan kes kematian, cedera parah dan ringan sebanyak 40.3 peratus.

''Ini berlaku dalam tempoh lima tahun penubuhan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) iaitu daripada 54,091 kes pada 2004 kepada 32,000 kes pada 2008,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Keselamatan Jalan Raja Malaysia (MKJR) Kali Ke-50 di Royale Bintang di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Pengangkutan, Datuk Yap Kin Sian.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh dan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros), Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah.

Dalam pada itu, Tee Keat berkata, bilangan kemalangan juga dapat dikurangkan bagi kategori bas ekspres, lori dan pejalan kaki seterusnya menyaksikan jumlah kematian membabitkan penunggang motosikal dan pemandu serta penumpang kereta dikurangkan.

Beliau memberitahu, kejayaan agenda keselamatan jalan raya boleh menyumbang dua peratus pada pertumbuhan ekonomi negara setiap tahun.

"Berdasarkan perangkaan pada 2008, kerugian berpunca daripada kecederaan dan maut akibat kemalangan jalan raya adalah pengurangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dengan kadar dua peratus iaitu 9 bilion daripada 528 bilion," jelas beliau.

Tambah Tee Keat, kempen keselamatan jalan raya seperti penggunaan topi keledar dengan kemas serta tali keledar depan dan belakang perlu dipertingkatkan agar menjadi amalan di kalangan masyarakat.

Tiada ulasan: