MALAYSIA KINI
Ahli jawatankuasa pusat MCA yang dipilih, diberi tempoh dua minggu untuk meletak jawatan bagi membolehkan pemilihan baru parti itu diadakan.
Timbalan presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata, 21 daripada 31 ahli CC mesti meletak jawatan untuk tujuan tersebut.
"Seorang ahli CC telah meninggal dunia. Ahli yang dilantik menggantikannya, juga harus dianggap sebagai ahli yang dipilih," katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat jawatankuasa khas malam ini.
Chua berkata borang peletakan jawatan yang standard telah diedarkan dan mereka diberi tempoh dua minggu untuk berbuat demikian.
"Kita edar borang (peletakan jawatan) yang standard, belum ada yang tandatangan untuk letak jawatan sebab kesemua mereka baru menerima borang dua hari lalu," katanya.
Ditanya berapa ramai anggota CC yang bersedia untuk meletak jawatan, bekas menteri kesihatan itu berkata, soalan itu harus dirujuk kepada setiausaha agung parti.
Semasa mesyuarat pertama Isnin lalu, beliau berkata, 13 ahli CC termasuk dirinya, telah menyatakan kesanggupan meletak jawatan.
Menurutnya, adalah diyakini bahawa masalah yang dihadapi MCA sekarang hampir dapat diselesaikan.
Antara 12 anggota CC yang dilihat menghadiri mesyuarat ialah naib presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai, Datuk Seri Kong Cho Ha, Ketua Pemuda Datuk Dr Wee Ka Siong, Senator Heng Seai Kie, Datuk Seri Tan Chai Ho and setiausaha agung Datuk Wong Foon Meng.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan