Sabtu, 12 Disember 2009

Jangan salahkan media isu dana masjid

BERNAMA


Media tidak harus dipersalahkan jika ia melaporkan perkara yang dirasakan perlu untuk dibawa kepada pengetahuan masyarakat selagi ia tidak menyeleweng daripada fakta sebenar, kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Sehubungan itu, katanya, tidak wajar bagi sesetengah pihak untuk menuding jari dengan menuduh media memutar-belitkan fakta dalam laporan mereka kerana beliau yakin media Malaysia bertanggungjawab untuk memaparkan fakta yang berkepentingan kepada masyarakat.

"Dari bacaan saya, saya tidak lihat apa yang dituduhnya (anggota parlimen Taiping, Nga Kor Ming) kerana apa yang berlaku (laporan media) adalah untuk pengetahuan umum," katanya ketika diminta mengulas dakwaan Nga bahawa media memutar belit kenyataanya berhubung isu peruntukan kerajaan dalam membina rumah ibadat Islam dan bukan Islam.

Rais berkata Nga tidak sepatutnya menyalahkan media secara amnya, sebaliknya perlu mengkhususkan media yang didakwa menyeleweng terhadap kenyataan itu.

Pada Rabu, Nga mempersoalkan peruntukan kerajaan sebanyak RM748 juta untuk membina 611 masjid bagi tempoh 2000-2008 dan pada masa sama menyatakan kerajaa memberi sedikit sahaja peruntukan membina rumah ibadat agama lain.

"Dia (Nga) perlu buktikan penyelewengan tersebut dengan mengkhususkan surat khabar mana dan saluran TV apa yang dia dakwa demikian.

"Bukan cakap media semuanya kerana ini tidak adil bagi media yang tidak terlibat," katanya selepas menutup ASEAN Cyberkids Camp 2009 Kuala Lumpur malam tadi.

Peruntukan tidak dihebahkan


Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk T Murugiah berkata sejumlah besar peruntukan disalurkan untuk pembinaan rumah ibadat agama lain tetapi ia tidak dihebahkan.

Katanya, pihak kerajaan tidak membesar-besarkan isu peruntukan untuk memenangi hati mana-mana penganut agama.

"Kita memberi setiap orang, tidak ada agama yang dianaktirikan walaupun kita telah menjadikan Islam sebagai agama rasmi di negara kita, tetapi kepentingan agama lain pun diambil kira dan setiap kali peruntukan pun memang untuk kuil disalurkan melalui MIC," katanya selepas menutup Kolokium Sekretariat Rukun Negara di Port Dickson semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai isu perbezaan peruntukan rumah ibadat Islam dan bukan Islam yang ditimbulkan oleh Nga.

"Dia tak nampak yang kuil India pun kita bagi, gereja pun kita bagi, tokong Cina pun kita bagi tetapi dia tak nampak, dia nampak kita bagi masjid," kata Murugiah.

Beliau berkata dalam BN pun terdapat menteri dan timbalan menteri yang memohon daripada kerajaan untuk membina rumah ibadat untuk penganut agama masing-masing.

"Saya minta semua orang supaya akur dengan perlembagaan. Jangan kita nak jadi jaguh kampung dengan kita mengungkitkan isu-isu yang boleh menyakitkan hati kaum lain, agama lain," katanya.

Sikap inilah yang akan menyebabkan negara ini terjebak dalam pelbagai masalah, katanya.

Tiada ulasan: