Oleh Hamid Salleh dan Nojie Nadzirah
SETIU: Kerajaan meluluskan peruntukan segera sebanyak RM18,000 kepada 18 pengusaha ternakan ikan dalam sangkar di Gong Batu di sini yang mengalami kerugian besar selepas 35,000 ekor ikan kerapu mereka mati selepas ditenggelami banjir, akhir bulan lalu.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharom, berkata bantuan yang disalurkan merangkumi input bahan makanan dan benih ikan bernilai antara RM1,000 dan RM2,000 berdasarkan jumlah ikan dalam sangkar yang mati.
Katanya, pengusaha yang mempunyai lebih 12 sangkar ikan akan menerima bantuan RM2,400 manakala yang kurang daripada itu akan menerima RM1,000.
“Kita menyalurkan bantuan ini bagi membolehkan peserta ternakan ikan dalam sangkar di kawasan ini dapat kembali mengusahakan projek mereka mulai hujung bulan ini,” katanya selepas melawat projek ternakan ikan dalam sangkar di Kampung Gong Batu di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Mohd Johari berkata, kerajaan juga akan memberi bantuan jaring kepada peserta projek itu kerana yang digunakan sekarang sudah berusia lebih 10 tahun dan memerlukan kos penyelenggaraan tinggi.
“Peserta projek ini juga diminta melepaskan benih ikan dalam sangkar pada tarikh yang lebih awal berbanding sebelum ini supaya keluaran mereka dapat matang sebelum musim tengkujuh.
“Ikan kerapu yang dipelihara dalam sangkar ini dapat matang dalam tempoh lapan bulan dengan berat antara 750 gram hingga satu kilogram seekor,” katanya tetapi menambah ikan kerapu sensitif dan mudah mati apabila tahap kemasinan air laut berkurangan apabila jumlah air tawar masuk ke kawasan lagun lebih daripada kadar biasa.
Sebagai langkah penyelesaian jangka panjang, beliau berkata, kerajaan sedia memberi bantuan kepada pengusaha projek itu untuk beralih kepada kaedah penternakan dalam tangki yang didapati lebih mudah diurus dan lebih menguntungkan.
Dalam kejadian pada 27 November lalu, 18 pengusaha ternakan ikan dalam sangkar di sebuah lagun di kampung itu kerugian lebih RM600,000 apabila 35,000 ikan kerapu mereka mati kerana dicemar banjir.
Kejadian itu disedari pengusaha sangkar berkenaan yang mendapati beribu ekor ikan kerapu dan siakap separuh matang berusia kira-kira enam bulan seberat antara 300 hingga 500 gram seekor terapung di lebih 300 sangkar pengusaha di kawasan itu apabila air dari Sungai Ular, kira-kira dua kilometer dari kawasan berkenaan yang melimpah ke dalam kawasan penternakan mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan