BERNAMA
TUN Abdul Rahman Abbas mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri bagi penggal ketiga di kediamannya di Seri Mutiara, Pulau Pinang, semalam.
PULAU PINANG 1 Mei - Tun Abdul Rahman Abbas hari ini mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang bagi penggal ketiga.
Upacara mengangkat sumpah itu berlangsung di Seri Mutiara di sini dan surat angkat sumpah Abdul Rahman itu ditandatangani oleh Hakim Besar Malaya Datuk Arifin Zakaria.
Majlis itu dimulakan dengan pengumuman pelantikan Abdul Rahman oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainal Rahim Seman.
Turut hadir pada upacara itu ialah Ketua Menteri, Lim Guan Eng, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon serta anggota Exco Kerajaan Negeri dan juga wakil- wakil rakyat.
Guan Eng dalam ucapan tahniah dan taat setianya berkata, pelantikan Abdul Rahman adalah satu kebanggan dan seterusnya menjadi payung kepimpinan kepada kerajaan negeri dan rakyat di negeri ini.
Katanya, Abdul Rahman telah banyak memberi sumbangan dan galakan kepada program-program kebajikan dan aktiviti sosio-sivik serta kebudayaan.
"Penglibatan beliau dalam kegiatan anjuran pertubuhan sukarela amat dihargai dan akan sentiasa memberi ilham serta dorongan kepada rakyat Pulau Pinang untuk terus berusaha membina masyarakat yang berilmu, berbudaya dan bersifat penyayang dan mulia," kata Guan Eng.
Pada 15 April lepas, Abdul Rahman menerima watikah pelantikan bagi menyambung khidmatnya selama empat tahun daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara, Kuala Lumpur.
Abdul Rahman, 71, yang dilahirkan pada 15 April 1938 di Kampung Permatang Rambai, Kepala Batas, Pulau Pinang, mula dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang ketujuh pada 17 April 2001 dan seterusnya dilantik semula untuk memegang jawatan yang sama pada 1 Mei 2005.
Beliau yang kini Canselor Universiti Tenaga Nasional (Uniten), berkahwin dengan Toh Puan Majimor Shariff dan ayah kepada empat orang anak.
Abdul Rahman pernah berkhidmat sebagai guru selama 20 tahun sebelum bergiat aktif dalam politik dan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam, Pulau Pinang selama empat penggal pada pilihan raya umum mulai tahun 1978.
Dalam karier politiknya, beliau pernah menjadi Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang pada 1974 hingga 1988, anggota Pemuda UMNO dari 1976 hingga 1978 dan Timbalan Ketua Umno Bahagian Kepala Batas pada 1988.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan