Isnin, 25 Mei 2009

Selangor Sasar 2010 Pengeluaran Padi Berganda

M.SAHRULNIZAM M.ZAIN


SABAK BERNAM – Kerajaan Negeri Selangor menetapkan sasaran pengeluaran padi kepada lebih lapan tan metrik sehektar menjelang 2010 dalam Program Peningkatan Hasil Padi berbanding empat tan metrik pada masa ini.

Demikian kata Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika melawat projek perintis tersebut di Parit 11, Pasir Panjang dekat sini.

Katanya dengan penambahbaikan sistem penanaman padi sedia ada dijangka bukan sahaja dapat meningkatkan hasil keluaran padi di Malaysia malah dapat meningkatkan pendapatan masyarakat pesawah.

“Sasaran kita sekurang-kurangnya pesawah-pesawah ini mestilah mendapat pulangan hasil sebanyak RM1,500 ke atas dan dengan cara ini kita bukan sahaja dapat membangunkan masyarakat di kawasan Sabak Bernam dan Tanjung Karang, tetapi juga menghapuskan masyarakat kemiskinan di kawasan ini”, tambahnya.

Melalui projek perintis tersebut, para pesawah bakal menikmati pendapatan lebih RM1,500 sebulan sekiranya boleh menghasilkan sembilan tan metrik purata hasil padi semusim berbanding RM560 sebulan dengan empat tan metrik pada masa ini.
Tan Sri Abdul Khalid pada Majlis Makan Tengahari bersama Ketua-ketua Jabatan, JKKK dan Ketua Kampung Daerah Sabak Bernam. - AHMAD FADHLI YAHYA

Tan Sri Abdul Khalid pada Majlis Makan Tengahari bersama Ketua-ketua Jabatan, JKKK dan Ketua Kampung Daerah Sabak Bernam. - Foto AHMAD FADHLI YAHYA

Sebelum itu, Abdul Khalid menghadiri Majlis Makan Tengahari bersama rakyat di Dewan Orang Ramai Seri Bernam di sini.

Pada lawatan tersebut, Abdul Khalid juga diberi taklimat ringkas projek perintis ini oleh pegawai pertanian daerah Sabak Bernam Selatan yang juga bertanggungjawab memantau dan memberi bimbingan teknologi pengurusan penanaman padi dekat sini.

Abdul Khalid juga dimaklumkan terdapat seorang petani di Sg. Burong sudah mengusahakan 32.4 hektar sawah padi dengan pendapatan hampir RM30,000 sebulan atau RM200,000 semusim penanaman padi.

Selain itu, beliau menyarankan para pesawah projek perintis tersebut mencontohi petani di Sekinchan yang menggunakan sepenuhnya kaedah penanaman Transplater berjaya menghasilkan keluaran padi yang banyak berbanding di Kuala Selangor dan Sabak Bernam yang mengamalkan kaedah padi tabur.

Seramai 94 petani menyertai projek perintis di Tali Air 10, Sabak Bernam Selatan ini, melibatkan 102 lot tanah berkeluasan 122.4 hektar selain projek seumpamanya di Bagan Terap di sini dan Sawah Sempadan di Kuala Selangor masing-masing dengan keluasan 249.6 hektar dan 190.8 hektar.

Dalam perkembangan lain, Dato’ Menteri Besar meminta pegawai daerah Sabak Bernam untuk menyelesaikan masalah pemilikan tanah yang berlarutan sejak 30 tahun lalu dengan menyerahkan borang permohonan tanah yang lengkap sebelum diluluskan.

Hadir sama ahli Eksko Selangor, antaranya YB Ronie Liu Tian Khiew, YB Teresa Kok, YB Dr. Halimah Ali, YB Rodziah Ismail, YB Yaakob Sapari, YB Iskandar Abdul Samad dan YB Dato’ Dr. Hassan Ali.

Tiada ulasan: