Selasa, 26 Mei 2009

RTM perlu siar semula kekejaman PKM

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Radio Televisyen Malaysia (RTM) perlu menyiarkan semula kisah kekejaman Parti Komunis Malaya (PKM) dan bekas pemimpinnya, Chin Peng bagi menyedarkan semua pihak tentang keperitan yang pernah mereka timbulkan.

Setiausaha Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Prof. Madya Dr. Zainal Abidin Borhan berkata, kekejaman yang ditimbulkan oleh bekas pemimpin PKM dan Chin Peng ke atas askar Melayu dan pasukan polis dulu tidak mungkin lenyap daripada ingatan mereka yang pernah menjadi mangsa.

''Justeru seandainya Chin Peng dibenarkan pulang ke Malaysia maka askar-askar Melayu dan anggota polis yang pernah menentang komunis serta waris-waris mereka akan menangis air mata darah.

''Gapena menentang tindakan membawa pulang Chin Peng kerana tempoh darurat ekoran ancaman komunis antara tahun 1948 hingga 1981 menyaksikan rakyat khususnya orang Melayu hidup dalam ketakutan,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Zainal Abidin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan akhbar tertentu yang menyiarkan rencana mengenai nostalgia Chin Peng dan PKM baru-baru ini.

Jelas beliau, Chin Peng memang tidak layak diiktiraf sebagai seorang pejuang ekoran tindakan PKM yang menyaksikan banyak penduduk Tanah Melayu terkorban dan menderita.

Sementara itu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyifatkan Chin Peng patut dihadapkan ke Mahkamah Tribunal kerana menyebabkan banyak nyawa terkorban ketika kumpulan komunis mengganas di Tanah Melayu.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, apa yang dilakukan oleh Chin Peng itu tidak boleh dimaafkan.

''Chin Peng adalah seorang penderhaka kepada negara dan rakyat Malaysia tidak akan berdiam diri jika usaha untuk membawa balik bekas pemimpin komunis ini diteruskan oleh pihak tertentu.

''Siasatan juga perlu dilakukan bagi mengetahui bagaimana sebuah akhbar tempatan boleh menerbitkan artikel nostalgia Chin Peng dan PKM seperti kedua-duanya adalah pejuang negara,'' katanya.

Sementara itu pakar sejarah, Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, tindakan pihak tertentu memberikan pengiktirafan kepada Chin Peng dan PKM adalah cubaan untuk memutar-belitkan sejarah tanah air.

''Jika ada pihak yang menganggap Chin Peng dan PKM adalah pejuang apakah askar Melayu yang menggadai nyawa mempertahankan negara daripada serangan komunis adalah pengkhianat.

''Oleh itu, kerajaan perlu mengambil langkah tertentu seperti menerbitkan buku sejarah mengenai kekejaman komunis kepada generasi muda supaya mereka dapat membezakan siapa pejuang dan siapa petualang negara,'' jelasnya.

Tiada ulasan: