Oleh Johan Afandi
JOHOR BAHRU: Peragut yang menyebabkan kematian wanita hamil, Jamilah Selamat dari Jalan Mekar, Taman Mekar, Batu Pahat dekat sini, pada 5 Mei lalu akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) yang membawa hukuman mati mandatori di Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini.
Seorang lelaki lagi yang memiliki telefon bimbit mangsa turut didakwa di mahkamah sama mengikut Seksyen 411 KK kerana menyimpan harta curi.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Sharif, berkata kertas siasatan bagi kes ragut dan memiliki telefon bimbit mangsa sudah diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan kedua-dua lelaki terbabit akan didakwa hari ini.
"Suspek pertama akan didakwa mengikut Seksyen 302 KK kerana tindakan ragut yang membunuh mangsa manakala lelaki kedua berdepan dengan dakwaan mengikut Seksyen 411 kanun sama kerana menyimpan harta curi," katanya di sini, semalam.
Beliau berkata, peragut yang juga bekas banduan berusia 26 tahun ditahan pasukan khas yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Amer Awal di Taman Banang Jaya, Batu Pahat, sehari selepas mangsa meninggal dunia.
Katanya, ketika ditahan, bekas banduan terbabit yang mempunyai enam rekod kesalahan lampau membabitkan curi, ragut dan pencerobohan jenayah antara 2003 hingga 2006 itu sedang khayal kerana mengambil pil Eramin 5.
"Lelaki itu cuba melarikan diri dan bertindak agresif melawan anggota polis tetapi mula memberi kerjasama pada 15 Mei lalu dengan menunjukkan lokasi barangan milik mangsa yang dibuang di dalam semak, berdekatan ladang sawit di Parit Raja, Batu Pahat," katanya.
Dalam kejadian jam 7.30 malam 3 Mei lalu, Jamilah sedang menunggang motosikal dalam perjalanan pulang dari pasar malam di Taman Ayer Hitam ke rumahnya di Jalan Mekar, Taman Mekar.
Sebaik tiba di sebuah bonggol di Jalan Kaloi, Taman Ayer Hitam, mangsa diragut menyebabkan motosikal jenis Honda EX 5 yang ditungganginya hilang kawalan lalu terjatuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan