Isnin, 25 Mei 2009

Orang kuat Umno berebut Manek Urai

Muda Mohd Noor
(kemaskini 2.49pm)


Empat pemimpin Umno bahagian Kuala Krai berminat mencabar PAS pada pilihanraya kecil DUN Manek Urai susulan kematian penyandangnya Ismail Yaacob, Jumaat lalu.

Ketua bahagian Datuk Ramzi Abdul Rahman, naib ketua bahagian Che Jalal Muda, ketua Wanita Rohani Abdul Majid dan ketua Pemuda Tuan Aziz Tuan Mat semuanya disebut-sebut menawarkan diri bagi menggalas cabaran BN di kerusi kubu PAS tersebut.

Sumber-sumber Umno bahagian memberitahu Malaysiakini hari ini, kecuali Rohani, semua yang berminat itu bukan orang tempatan di DUN tersebut.

Menurut sumber itu lagi, tradisi Umno meletakkan calon luar tidak disenangi oleh pengundi Manek Urai.

“Tidak bolehkah kita menonjolkan calon tempatan kali ini setelah kita melihat pengundi tidak mahu calon import Umno.

“Jika sukar untuk mendapatkan calon lelaki, Rohani boleh dicalonkan,” kata satu sumber dalam Umno bahagian.

Sumber itu menambah, pengundi Manek Urai tidak selesa dengan tindakan beberapa pemimpin Umno yang sengaja menayangkan kemewahan kepada penduduk kampung.

Katanya, mereka datang dengan kereta mewah, membawa imej bertentangan dengan penduduk yang miskin dan kebanyakannya petani dan bekerja sendiri.

Berbeza dengan PAS apabila pemimpin mereka berusaha menjadi orang kampung dan sikap ini disenangi oleh semua orang, tambah sumber.

“Sebab itu Ismail menang lima kali. Bukan sahaja orang PAS, orang Umno pun boleh terima beliau sebagai wakil rakyat Manek Urai,” katanya.

Ismail menguasai Manek Urai selama lima penggal berturut-turut sejak memenanginya pada pilihanraya umum 1986.

Pada 2004 sewaktu allahyarham tidak bertanding, calon BN Zulkepli Omar menang di situ dengan majoriti tipis 53 undi.

Dalam pilihanraya umum lalu, Ismail merampas kembali kerusi tersebut dengan majoriti 1,352 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat Khamis ini dan dijangka mengumumkan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi kerusi tersebut.

Tiada ulasan: