BERNAMA
KUALA LUMPUR: Lembaga Disiplin Parti Progresif Penduduk (PPP) hari ini memecat tujuh anggota parti termasuk aggota Majlis Tertingginya Datuk T. Murugiah.
Enam lagi yang dipecat adalah M.Jeyaratnam, N.Shanmuganathan, K.Tanggaraju, S.Kanesan, S.Saravanan dan R.Rajandran, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh lembaga itu selepas mesyuarat mereka semalam.
Mesyuarat dua jam itu disertai 39 anggota Lembaga Disiplin, dan ia turut dihadiri Presiden Parti Datuk M.Kayveas.
Menurut lembaga itu berdasarkan kepada Artikel 19.2, mereka yang tidak puas hati dengan keputusan boleh membuat rayuan bertulis dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan dibuat kepada Majlis Tertinggi, untuk perhatian Setiausaha Agung.
"Kami merasa sedih dalam membuat keputusan ini memandangkan kami sudah memberi masa kepada T.Murugiah untuk menemui Majlis Tertinggi, beberapa kali sejak 10 bulan lepas. Nampaknya semua mereka ini memang minta dipecat," menurut kenyataan lembaga itu.
Lembaga itu berkata Murugiah dipecat kerana menggunakan pejabatnya, iaitu pejabat Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri, untuk mengadakan satu persidangan akhbar yang mencemar nama baik parti dan membuat kenyataan yang bersifat fitnah mengenai parti, Majlis Tertinggi dan kepimpinan parti.
Tambahan pula menurut lembaga itu, Murugiah mengugut peguam parti dan juga anggota majlis tertinggi, dengan mengatakan bahawa beliau akan menggunakan segala kuasa yang ada padanya untuk membatalkan pendaftaran parti PPP.
"Tindakan ini dianggap oleh Lembaga Disiplin sebagai satu kesalahan yang berat di bawah perlembagaan parti dan tidak boleh dikecualikan daripada menghadapi tindakan disiplin.
"Tindakan meminta supaya parti anda sendiri dibatalkan pendaftarannya, adalah tindakan seorang pengkhianat bagi manamana jua pertubuhan," menurut lembaga itu.
Pada 9 Mei lepas Majlis Tertinggi PPP membuat kenyataan memohon supaya Murugiah dipecat dari parti, namun keputusan itu ditangguhkan oleh Kayveas.
Menurut lembaga itu ia ditangguhkan atas ihsan Presiden parti yang ingin memberikan peluang dan masa yang mencukupi buat Murugiah untuk berbaik semula dengan anggota Majlis Tertinggi dan pemimpin negeri.
"Apabila parti tidak memecatnya atau mengambil sebarang tindakan disiplin terhadapnya, dia mewujudkan keadaan seolaholah dia dipecat dan dia cuba mendapatkan simpati daripada pelbagai sumber," menurut lembaga itu.
Sementara itu PPP Selangor pula bercadang mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) peringkat kebangsaan untuk meminta anggota parti meluluskan undi tidak percaya terhadap Kayveas sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan parti itu.
Ketua PPP Bahagian Selayang K.Tanggaraju, yang termasuk dalam senarai anggota yang dipecat hari ini berkata cadangan itu dibuat memandangkan ramai anggota parti tidak bersetuju dengan tindakan Kayveas yang memecat tujuh anggota parti sesuka hati sehingga menimbulkan rasa hilang kepercayaan anggota terhadap pucuk pimpinan parti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan