M.SAHRULNIZAM M.ZAIN
SINGAPURA – Dato’ Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengadakan kunjungan hormat Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong semasa lawatan kerjanya di sini.
“Kita berterima kasih kepada Yang Berhormat dengan sambutan hangat dan kita melihat pada masa hadapan untuk mengadakan hubungan persahabatan kedua-dua pihak dengan Singapura terutamanya dalam sektor perniagaan”, kata Abdul Khalid.
Pada perjumpaan selama 45 minit tersebut, kedua-dua pemimpin ini saling bertukar pandangan mengenai politik terkini dan perkembangan ekonomi di Selangor dan Singapura.
Dalam pada itu, perbincangan turut menyentuh Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor khususnya Projek Pemulihan Sungai Klang yang memerlukan kepakaran dan pengalaman Singapura dalam usaha pemulihan, pembersihan dan pembangunan sungai.
Katanya projek tersebut dijangka dapat menarik pelaburan yang bernilai lebih RM50 billion dan mewujudkan kira-kira 15,000 peluang pekerjaan.
Terlebih dahulu Abdul Khalid mengadakan perjumpaan dengan Lembaga Kemudahan Awam (PUB) dan Agensi Persekitaran Kebangsaan untuk berkongsi pengalaman mereka dalam pengurusan sungai dan air.
Antara lain, Dato’ Menteri Besar dengan ditemani oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor turut melawat Marina Barrage bagi melihat pembangunan terkini sistem pengurangan banjir dan rawatan sumber air.
Abdul Khalid juga sempat meluangkan masa kira-kira dua jam dan memberi ucapan “Cabaran Yang Dihadapi Selangor di bawah Pakatan Rakyat” kepada 150 pelajar di Institut Pengajian Asia Tenggara (ISEAS).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan