Selasa, 26 Mei 2009

KPDN&HEP wujud portal senarai harga barang

BERNAMA


PUTRAJAYA - Pengguna kini berpeluang membuat perbandingan harga barangan yang ingin dibeli tanpa perlu keluar dari rumah dengan menggunakan portal pemantau harga yang dibangunkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN&HEP).

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, portal itu bukan sahaja memberi peluang kepada pengguna memilih premis menawarkan barangan pada harga lebih rendah, tetapi turut menggalakkan persaingan sihat di kalangan penjual, di mana mereka mungkin menurunkan harga jika mendapati premis lain menjual dengan harga lebih murah.

Beliau berkata, portal yang boleh diakses melalui pautan di portal smartconsumer.my atau ricewatch.kpdnhep.gov.my itu memaparkan 50 jenis barangan keperluan harian di pasaraya besar, pasaraya, pasar basah besar dan pasar basah kecil seluruh negara.

“Terdapat 1,600 pegawai pemantau harga di seluruh negara yang akan mengemaskini harga-harga barang tersebut setiap hari,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kedua-dua portal itu, semalam.

Ismail Sabri berkata, melalui cara itu juga, kementerian dapat mengawal harga-harga barang di seluruh negara, terutama bagi harga barang-barang terkawal.

Beliau berkata, kementerian juga bercadang memperkembangkan fungsi portal itu melalui penggunaan telefon bimbit, serta memperluaskan skop premis kepada kedai-kedai runcit pada masa hadapan.

Mengenai smartconsumer.my, Ismail Sabri berkata, ia memberi peluang kepada pengguna mendapatkan maklumat-maklumat mengenai isu kepenggunaan juga menyediakan ruang kepada pengguna memberikan pandangan berkaitan isu kepenggunaan secara terbuka.

Pelbagai ruangan disediakan di portal itu termasuk ruangan tip-tip pengguna, kempen kepenggunaan, aduan, kedai pilihan pengguna dan kenali persatuan pengguna dan portal itu juga akan dijadikan pusat sehenti yang akan dipautkan dengan portal-portal kepenggunaan yang lain, katanya.

Ditanya mengenai aduan pengguna berhubung kekurangan bekalan beras ST15, Ismail Sabri berkata ia merupakan bidang kuasa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Tiada ulasan: