Rabu, 20 Mei 2009

Khir Toyo digantung setahun

BERNAMA


SHAH ALAM - Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo digantung menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dan kemudahan elaun sebagai Ahli DUN selama setahun selepas didapati bersalah menghina Dewan.

Jawatankuasa Hak dan Kebebasan (JKHK) Negeri Selangor juga mendapati, bekas Menteri Besar itu bersalah kerana gagal hadir pada sesi pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) pada Mac lalu.

SELCAT ditubuhkan dengan bidang kuasa DUN bagi membolehkan pendengaran awam dilakukan berhubung penggunaan wang penajaan Badan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis) pada pertengahan Mac lalu.

Selain Dr. Khir, empat lagi ADUN Barisan Nasional (BN), Datuk Marsum Paing (Dengkil), Mohd Isa Abu Kasim (Batang Kali), Datuk Warno Dogol (Sabak) dan Datuk Mohamed Idris Abu Bakar (Hulu Bernam) didapati bersalah menghina Dewan.

Selepas mesyuarat JKHK di sini semalam, Pengerusinya, Teng Chang Khim, yang juga Speaker DUN berkata, empat ADUN itu masing-masing digantung perkhidmatan dan kemudahan elaun mereka selama enam bulan.

Katanya, empat ADUN itu didapati bersalah kerana mengeluarkan kenyataan menuduh SELCAT sebagai sebuah badan yang tidak bebas dan alat politik untuk membalas dendam terhadap wakil BN.

Tiada ulasan: