Sabtu, 18 April 2009

Tok Guru Nik Aziz, 'Ustaz' Nga Kor Meng di Melewar 19 April ini!

Tarmizi Mohd Jam


KUALA LUMPUR - Mursyidul Am PAS, Dato' Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama Setiausaha DAP Perak yang juga Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Meng akan bersemuka dengan para penyokong Pakatan Rakyat di Markaz Tarbiyyah PAS Taman Melewar, 19 April ini.

Demikian kenyataan ringkas Timbalan Yang Dipertua PAS Batu, Hj Suhaimi Abdul Rahman kepada Harakah.

Mereka katanya, akan menyampaikan ceramah pada "Himpunan Rakyat Meraikan Kemenangan Dua Bukit" bagi menceritakan lebih lanjut, pahit getir sepanjang berkempen di Bukit Gantang. Nga yang lebih popular dengan panggilan 'Ustaz Nga' antara sasaran BN bagi menjatuhkan reputasi Pakatan Rakyat sepanjang kempen pilihan raya kecil.

Program anjuran PAS Kawasan Batu itu bermula jam 9.30 malam itu turut menampilkan bekas pensyarah Sains Sosial dan Antropologi Universiti Malaya, Ann Wan Seng. Orang ramai dijemput hadir.

Selain kisah 'Ustaz Nga' membaca ayat al-Quran sewaktu berkempen di Bukit Gantang telah menimbulkan kontroversi, dan satu laporan polis dibuat oleh proksi Umno; perkembangan terkini di Perak juga akan dikupas oleh beliau pada program itu, ujar Suhaimi.

Tok Guru Nik Aziz antara pemimpin utama PAS yang membela Nga dalam isu membacaan ayat al-Quran. Kesempatan itu juga, Nga diberi penghormatan untu melancarkan sebuah novel terbitan Anbakri Publika Sdn. Bhd. berjudul "Bidadari Dari Timur".

Novel tersebut juga, akan dilancarkan oleh Tok Guru Nik Aziz di Dewan Kedah & Johor Bangunan PWTC antara jam 12 hingga 1.00 tengahari sempena Pesta Buku Antarabangsa 2009 yang diadakan di ibu negara. - tmj _

Tiada ulasan: