Sabtu, 18 April 2009

PKR tidak tanggungjawab BN wajar tanding di Penanti, kata Umno

Oleh NURUL AIN MOHD HUSSAIN


PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) wajar meletakkan calonnya pada pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti yang bakal diadakan walaupun ada pihak berpendapat pilihan raya kecil itu hanya satu pembaziran wang rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz BN tidak boleh memberikan kemenangan percuma kepada pembangkang pada pilihan raya kecil itu kerana tindakan itu seolah-olah menyetujui strategi Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ingin menggambarkan seolah-olah pembangkang mendapat sokongan rakyat setiap kali pilihan raya kecil diadakan.

"Kalau kita tidak letak calon bermakna kita mengiakan permainan politik Anwar Ibrahim ini.

"Kita serius nak memberikan wakil rakyat yang hendak berkhidmat kepada penduduk Penanti.

"Saya harap mereka akan memberilah sokongan kepada BN supaya kita dapat memberi seorang wakil rakyat yang betulbetul berkhidmat untuk rakyat dan bukan menggunakan pilihan raya ini sebagai tempat mengadu domba," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas di Kuala Kangsar hari ini.

Malam tadi, Anwar dipetik sebagai berkata, BN tidak perlu meletakkan calon jika merasakan pilihan raya kecil Penanti kali ini sebagai satu pembaziran wang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual mengadakan mesyuarat Rabu ini bagi menentukan sama ada perlu mengadakan pilihan raya kecil kerusi Penanti ataupun sebaliknya.

Dalam pada itu, Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang menyifatkan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Fairus Khairuddin mengosongkan kerusi tersebut kelmarin sebagai tindakan yang tidak bertanggungjawab dan membohongi rakyat.

Menurut Timbalan Pengerusinya, Datuk Abdul Rashid Abdullah, rakyat sepatutnya sedar dan membuka mata atas kes rasuah yang telah dilakukan oleh pemimpin PKR itu.

"Ini satu pembohongan terbesar mereka (pemimpin PKR) kepada rakyat. Mereka (PKR) telah mendapat mandat daripada rakyat namun mereka mempermainkannya dengan meletak jawatan.

"Apa ini? Mereka ini ingat pilihan raya boleh dibuat sesuka hati," katanya kepada mStar Online.

Jelasnya, PKR menggunakan kaedah 'tangkap muat' untuk memilih pemimpin tanpa menyiasat latar belakang seseorang calon yang mewakili parti itu.

"Baru setahun ada kes rasuah. Ada Ketua Umum pun tak boleh nak jaga anak buah dia macam mana? Bila dah ada kes rasuah mula menggelabah. Baru fikir nak letak jawatan," katanya.

Bagiamanapun Rashid menegaskan, Umno sentiasa bersedia untuk bertanding pada pilihan raya kecil DUN Penanti.

"Inilah yang menyedihkan kita. Rakyat patut sedar cara dan taktik mereka (PKR) berpolitik," katanya.

Tambahnya, pucuk pimpinan Umno akan menentukan siapa calon yang layak bertanding mewakili parti itu.

"Kita memang akan mengadakan mesyuarat tapi kita sedang tunggu isyarat daripada pucuk pimpinan parti.

"Saya percaya Umno Bahagian Permatang Pauh akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk membincangkan mengenai isu ini (pilihan raya).

"Apa yang penting kita harap pengundi di DUN Penanti akan membuat keputusan yang bijak dalam pilihan raya kali ini," katanya.

Tiada ulasan: