Khamis, 8 Januari 2009

PM: Komen Mahathir tak relevan, tekad pertahan Kuala Terengganu

Oleh G.MANIMARAN
[DIKEMAS KINI, 7.45 PETANG]


KUALA TERENGGANU: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyifatkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai hanyalah "calon proksi" adalah tidak releven sama sekali.

Sebaliknya kata Perdana Menteri, BN akan bertarung untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu menerusi pilihan raya kecil ini.

Sambil menekankan bahawa BN tahu matlamatnya dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu, Perdana Menteri menjelaskan, usaha akan digerakkan untuk memastikan kemenangan Wan Ahmad Farid pada 17 Januari ini.

"Mahathir boleh mengatakan apa sahaja, ia tidak relevan kepada kami... kami tahu apa yang kami lakukan, kami tahu apa yang kami mahukan," kata beliau pada sidang media selepas perjumpaan dengan Jentera BN Pilihan Raya Kerusi Parlimen Kuala Terengganu di sini, sebentar tadi.

"Kami akan berjuang untuk mempertahankan kerusi ini, itu sahaja," kata Abdullah yang juga Pengerusi BN dan Presiden Umno.

Abdullah menggantikan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno pada Oktober 2003.

Awal minggu ini, D. Mahathir berkata, beliau kecewa dengan calon BN bagi pilihan raya kecil Kuala Terengganu kerana Wan Ahmad Farid hanyalah proksi kepada seseorang.

Wan Ahmad Farid, 46, merupakan bekas Setiausaha Politik kepada Abdullah selaku Menteri Dalam Negeri dari 2004 hingga 2008.

Pada Mac lalu, Wan Ahmad Farid dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri atas kapasiti sebagai anggota Dewan Negara.

BN turun gelanggang dalam persaingan tiga penjuru untuk mempertahankan kerusi itu yang telah dimenangi oleh Datuk Razali Ismail pada 2004 dan 2008.

RISIKO DIAMBIL FARID

Abdullah juga menambah, calon BN itu telah mengambil risiko yang tinggi dengan melepaskan jawatan dalam Senat, sekali gus sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri.

"Saya sudah beritahu beliau (Wan Ahmad Farid) jika saudara tidak menang, saudara akan kehilangan kedudukan sebagai ahli Senat dan akan kehilangan kedudukan sebagai timbalan menteri dan sudah tidak boleh balik kepada saya hendakkan balik jawatan setiausaha politik. "Itu adalah risiko yang telah saya beritahu kepada beliau sejak awal lagi apabila saya dengar cakap-cakap beliau akan menjadi pilihan Umno di bahagiannya, Kuala Terengganu ini.

"Jadi apabila saya kata pada dia, dia jawab dengan begitu cepat... saya bersedia tanding untuk menjadi wakil rakyat di bahagian Kuala Terengganu.

"Saya tanya mengapa, dia menjawab mahu berkhidmat di kawasan ini di mana beliau adalah Ketua Bahagian Umno di sini dan juga adalah seorang pemimpin di kalangan parti-parti komponen Barisan Nasional di kawasan Kuala Terengganu.

"Maka dengan itu nampaknya beliau sedia berkorban dengan niat yang satu sahaja iaitu mahu berkhidmat di bahagian ini," ujar Abdullah.

Sebenarnya, jelas beliau, Wan Ahmad Farid sudah ada jawatan timbalan menteri yang disandang sejak pilihan raya umum ke-12 yang lalu dan jawatan Senator.

Pun begitu, katanya, Wan Ahmad Farid memilih untuk bertanding dipilih sebagai Ahli Parlimen kerana benar-benar mahu berkhidmat kepada penduduk setempat.

"Saya menjelaskan perkara ini kepada mereka (jentera pilihan raya) dengan harapan mereka tahu bahawa kita ada calon yang serius dan kekuatan-kekuatan pada dirinya dan boleh menjadi seorang wakil rakyat yang baik," katanya lagi.

LOGIK DIKEKAL BN

Abdullah menambah, memandangkan BN telah merampas kerusi Kuala Terengganu pada 2004 dan dikekalkan empat tahun kemudian, maka ia harus dipertahan oleh BN bagi meneruskan khidmat kepada penduduk bahagian itu.

"(Rakyat) hendakkan Ahli Parlimen dari BN, bagi saya ia sudah menjadi satu pilihan yang logik.

"Dengan kekosongan itu, ia perlu diisi oleh seorang wakil dari Barisan Nasional," katanya lagi.

LUPAKAN PEMILIHAN UMNO

Bagi mencapai kemenangan calon BN, Abdullah juga menasihatkan pemimpin-pemimpin Umno melupakan masalah sesama sendiri manakala calon pemilihan jawatan utama Mac depan juga mengetepikan buat sementara waktu kempen masing-masing.

"Kita perlu memusatkan semua kerja ini... ini kerja kamu, jangan libatkan kerja-kerja lain terutama yang melibatkan pemilihan ini, jangan libatkan hal-hal berkaitan dengan parti, yang datang bulan Mac ini.

"Bukan lama, lupakan yang itu buat sekejap. Tumpukan pada tanggungjawab untuk menentukan kemenangan calon BN," katanya.

Tiada ulasan: