Politiking Umno di sebalik pilihan raya kecil Permatang Pauh
Ibrahim Othman
Ketika ini, di kalangan orang-orang Umno, mereka bercakap soal siapakah calon Umno (BN) yang bakal diletakkan di Permatang Pauh. Mereka sedar, peluang untuk menang, macam mustahil walaupun, tidak ada siapa yang mampu menolak, keinginan untuk dinamakan.
Umno Bahagian Permatang Pauh, di bawah kepimpinan Dato' Abd Jalil Abd Majid siang-siang 'memberi amaran' kepada pucuk pimpinan ' kami mahukan anak tempatan' yang kemudiannya dinafikannya, kononnya dia tidak pernah memberikan senarai nama-nama yang patut dipilih. Sebaik sahaja Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 16 Ogos sebagai tarikh penamaan calon dan jika ada pertandingan, pengundian akan diadakan pada 26 Ogos, Umno Bahagian Permatang Pauh, terus mengeluarkan kenyataan media, mahukan Abd Jalil diletakkan sebagai calon BN di dalam pilihan raya kecil ini.
Abd Jalil mungkin malu nak bercakap terus, tetapi ramai yang tahu hubungannya dengan Perdana Menteri (PM), Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi cukup rapat.
Jika tidak, mungkin dia tidak dapat jadi Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, jika PM tidak gugurkan penyandang jawatan itu, Dato' Ahmad Saad dari jawatan ketua bahagian.
Ketika Umno tercari-cari siapakah yang boleh diletakkan sebagai calon, agar BN tidak 'hilang deposit' Abd Jalil tidak bertangguh-tangguh lagi, menggunakan alasan anak tempatan dan jawatannya sebagai Ketua Bahagian, untuk menjadi pilihan. Mungkin bukan untuk menang, tetapi sebagai alasan, jangan nanti pucuk pimpinan menamakan Ahmad sebagai calon.
Umno Bahagian Permatang Pauh dalam satu mesyuarat khas jawatankuasa Umno bahagian, Isnin lalu mencadangkan supaya Abd Jalil dipilih menja calon BN di dalam pilihan raya kecil itu. Setiausaha Umno bahagian, Ahmad Sahar Shuib mengumumkan keputusan mesyuarat tersebut.
Kenapa hasrat anak tempatan dan ketua bahagian ini perlu diuar-uarkan?
Pertama, kalau Ahmad ditakdirkan menang di sini, sudah tentu dia akan bertanding pula jawatan Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh dengan 'mudah' mengenepikan Abd Jalil.
Kedua, jika Ahmad tewas sebagai calon BN di Permatang Pauh dalam pilihan raya kecil ini, tentunya 'tempoh 10 hari berkempen' yang ada ketika pilihan raya kecil, mendekatkan dia dengan ketua-ketua cawangan Umno, ketua-ketua peti undi, pekerja-pekerja pilihan raya (Umno) dan rakan-rakan lamanya dalam Umno bahagian itu, yang sekaligus akan 'meminggirkan' Abd Jalil dari menjadi saingan.
Ketiga, jika PM memilih Ahmad, membuktikan bahawa PM lebih mahukan Ahmad (ketika ini) dari Abd Jalil.
Kebetulan, Abd Jalil baru sahaja tewas dalam PRU 12, 8 Mac yang lalu, di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, dengan majoriti 2,219 undi di tangan calon PKR, Mohammad Fairuz Khairuddin yang kini menjadi Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang.
Perkiraan pemimpin-pemimpin bahagian Umno, pilihan raya tidak sepenting pemilihan dalam parti.
Tidak hairanlah kalau heboh cerita di kalangan pemimpin-pemimpin Umno, ramai ketua-ketua bahagian, tidak menyalurkan wang yang cukup ketika tempoh berkempen dalam PRU 12 yang lalu, kerana masing-masing lebih selesa 'menyimpan semua wang parti' untuk kegunaan masing-masing, bagi mempertahankan diri dan kedudukan dalam bahagian.
Isu ini bukan sahaja timbul di Johor, malahan kedengaran juga di Wilayah Persekutuan, Terengganu dan Kelantan. Paling teruk, cerita ini sudah menjadi 'rahsia terbuka' kononnya ada yang berjaya 'menabung duit parti menjadi duit sendiri' ratusan ribu RM.
Maka, jika kedengaran berlaku politik wang dalam pemilihan kali ini, ia bukan cerita baru kerana di kalangan pemimpin-pemimpin Umno, mereka sedar dan amat-amat mengetahuinya, ia akan berlaku.
Naib Presiden Umno, Dato' Seri Mohd Ali Rustam turut menyatakan bahawa kepimpinan Umno perlu mencari 'anak tempatan' bagi diletakkan sebagai calon dalam pilihan raya kecil ini.
Kenapa Mohd Ali berkata sedemikian? Tentulah Mohd Ali mahu menyampaikan hasrat Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, itu yang diharapkannya bakal menyokongnya dalam usahanya mempertahankan kerusi Naib Presiden.
Bagi Mohd Ali, rugilah dia kalau dia tidak 'mempertahankan' Abd Jalil yang merupakan Ketua Bahagian, kerana di tangan Abd Jalil ada undi yang ‘diharapkan’ oleh Mohd Ali.
Tetapi jika yang bertanding itu 'orang luar' seperti Mohamad Ezam Mohd Nor dan Ahmad, yang masih belum tentu jadi 'perwakilan' ke Perhimpunan Agung Umno, Disember depan, Mohd Ali dilihat ‘ tidak boleh diharapkan ‘ menjadi dahan untuk Abd Jalil berpaut.
Kegilaan memegang jawatan dalam Umno kini seperti sudah tidak dapat dibendung lagi.
Di situ (baca: jawatan dalam Umno) dilihat masih lagi menjadi 'lubuk' mencari penghidupan dan perniagaan. Lebih-lebih lagi, di kalangan penyandang jawatan di negeri-negeri yang diperintah Pakatan Rakyat, semakin 'besar saham' menagih simpati mendapatkan projek dan peluang di Putrajaya.
Perbalahan dalaman Umno, cukup parah. Jika ada ketua-ketua bahagian (baca: penyandang) enggan mempertahankan jawatan untuk memberi laluan kepada 'muka baru' sebenarnya bukanlah kerana keikhlasan.
Mereka yang mahu 'pergi itu', kerana sudah tidak Nampak apa-apa peluang lagi di depan mata, usia sudah lanjut dan takut, jika terus kekal sebagai ketua bahagian, tidak dapat lagi bergelar YB kerana, BN tidak mudah menang seperti dahulu.
Bagi yang berjawatan Menteri atau Menteri Besar, jika mereka enggan menawarkan diri bertanding jawatan Majlis Tertinggi (MT) Umno, bukan kerana mereka mahu member laluan kepada muka-muka baru, sebaliknya mereka tidak mahu menghabiskan duit dan masa berkempen.
Lebih baik, bagi mereka berbelanja untuk diri sendiri dan keluarga mereka, bercuti ke luar negara atau mengumpul (koleksi) kereta mewah untuk kepuasan sendiri dari duit yang mereka 'himpun' ketika menjadi Menteri dan Menteri Besar!
Permatang Pauh, satu contoh di mana, yang sudah kalah dalam PRU 12 (baca: baru kalah), masih mahu mengekalkan jawatan ketua bahagian, sedangkan dia tentunya sedar, ketika pengundi sudah menolaknya, untuk apa dia masih mahu kekal duduk di situ.
Umno, adalah contoh di mana ahli-ahlinya tidak dapat memahami erti demokrasi. Yang menang, akan mengenepikan kumpulan yang kalah dan yang kalah, akan merajuk hingga membawa diri dan penyokong-penyokong mereka supaya tidak lagi bersama-sama parti dan kepimpinan. Sedangkan, demokrasi, tidak menghukum sedemikian.
Yang kalah mestilah menyokong yang menang dan yang menang, mestilah memberi tempat sewajarnya kepada yang kalah! - mr _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan