Selasa, 23 April 2019

Rakyat hilang percaya, Tommy Thomas digesa letak jawatan

ainaa syaza  

Kredibiliti Peguam Negara dipertikai kerana terlalu banyak kelemahan


BANGI – Asakan demi asakan terus dilontar pelbagai pihak supaya menggugurkan jawatan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara.

Terbaharu, Ahli Parlimen Kuala Terengganu Haji Ahmad Amzad Hashim menggesa Tommy meletakkan jawatan kerana telah menghilangkan kepercayaan rakyat terhadap keadilan dalam proses undang-undang.

Beliau berkata, Tommy seolah-olah tidak memahami fungsi dan peranan sebenar Peguam Negara apabila membuat keputusan berhubung kepentingan negara dan keadilan kepada masyarakat awam.

“Beliau dilihat terbawa-bawa dengan peranannya sebagai peguam swasta yang perlu mengikut kehendak klien. Hakikatnya, keputusan yang terlalu memihak kepada tertuduh juga boleh menimbulkan prasangka orang ramai mengenai kewujudan campur tangan luar,” katanya.

Mengulas lanjut, Amzad berkata, kegagalan Tommy dalam menggalas tanggungjawab semakin terserlah susulan isu menandatangani ratifikasi Statut Rom sebelum ini.

Katanya, terlalu banyak kelemahan Tommy, termasuk culas secara terburu-buru telah mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), sehingga mendahului keputusan kerajaan.

“Tindakan-tindakan seperti; memfailkan afidavit mengatakan Arwah Adib mati dipukul sedangkan keputusan inkues masih belum dikeluarkan, mengeluarkan arahan supaya kes Siti Aisyah yang dituduh membunuh Kim Jong Nam tidak diteruskan, Lim Guan Eng dan Rafizi Ramli turut dilepaskan hanya dengan melalui surat representasi.

“Baru-baru ini, Tommy turut melepaskan tertuduh yang didakwa membunuh pembantu rumah warga Indonesia walaupun terdapat banyak bukti kukuh berkaitan dengan penderaan dalam kes itu. Trend pengguguran dakwaan semakin menjadi-jadi dan jika ia dibiarkan pastinya akan mencemarkan imej dan kredibiliti Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya.

Amzad berkata, Tommy bukan sekadar menunjukkan prestasi tugasnya sambil lewa, malahan moral beliau juga banyak yang boleh dipertikaikan.

“Insiden kantoi menari dengan Siti Kassim dan Ketua Hakim Negara yang secara ketara telah mencabul prinsip konflik kepentingan tanpa sebarang permohonan maaf daripada pihaknya.

“Pengumuman Tommy kononnya untuk menyaman kerajaan Kelantan ketika Pilihan Raya Kecil Cameron Highland, sedangkan semua pihak sedia maklum bahawa perbuatannya itu hanya untuk memancing undi Orang Asli,” katanya.

Justeru, pihaknya mendesak Tommy Thomas dipecat daripada memegang penguasaan sebagai Peguam Negara supaya kerosakan-kerosakan yang dilakukannya boleh dihentikan dalam kadar segera.


Tiada ulasan: