Selasa, 18 September 2018

Kempen untuk Anwar, pengkhianat parti - Khairy

Sinar Harian / ASTRO AWANI
Kempen untuk Anwar, pengkhianat parti - Khairy
KHAIRY: Tataetika parti jelas. Kalau kempen untuk parti lawan, kena buang daripada UMNO. - Gambar fail/Astro AWANI
 
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, mana-mana ahli parti UMNO berkempen untuk calon lawan pada PRK Port Dickson boleh disifatkan sebagai pengkhianat parti.

Katanya, perbuatan itu juga bertentangan dengan etika parti.

"Tataetika parti jelas. Kalau kempen untuk parti lawan, kena buang daripada UMNO.

"Itu bukan lagi meraikan perbezaan pendapat. Itu mengkhianati parti," katanya menerusi catatan di Twitternya.

Khairy berkata demikian membalas ciapan Norhafiz yang bertanyakan mengenai tindakan  Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri  Abdul Aziz yang bakal berkempen buat calon PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada PRK berkenaan.

Pertanyaan itu, berdasarkan kenyataan awal Khairy di Twitter yang mencadangkan agar UMNO/BN bertanding pada PRK Port Dickson

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahamad Zahid Hamidi berkata Mohamed Nazri  tidak akan dikenakan sebarang tindakan disiplin parti sekiranya berkempen untuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di kerusi Parlimen Port Dickson.

BACA: Nazri, Jamal nak bantu kempen PRK? Saya bersyukur sahaja - Anwar Ibrahim

Zahid berkata pendirian itu diambil kerana beliau sering meraikan perbezaan pendapat dalam kalangan ahli UMNO.

Nazri mengesahkan akan berkempen untuk Anwar dan mahu agar partinya tidak meletakkan calon menentang Anwar di Port Dickson tidak lama lagi.

Selain Nazri, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos juga bersedia 'menawarkan diri' berkempen bagi pihak  Anwar, di kerusi Parlimen Port Dickson.

Jamal berkata, beliau sendiri akan memberikan sokongan terhadap Anwar dalam usaha mengangkat bekas timbalan perdana menteri itu sebagai perdana menteri kelapan.

Menurutnya, beliau menyokong Anwar menjadi perdana menteri adalah disebabkan kerana tidak yakin dengan kerajaan di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamed.

Tiada ulasan: