Selasa, 3 April 2018

RUU berita palsu hampir jadi kenyataan, diangkat ke Dewan Negara

 
RUU Antiberita Tidak Benar lulus bacaan ketiga di Dewan Rakyat selepas undian suara.
 
 


KUALA LUMPUR: Nampaknya tiada apa yang boleh menghalang Rang Undang-undang Anti-berita Tidak Benar 2018 yang lulus bacaan ketiga petang tadi.

RUU kontroversi itu diluluskan melalui undian suara pada 6.20 petang tadi dan akan diangkat ke Dewan Negara untuk pertimbangan para senator.

“RUU ini dibacakan kali ketiga dan diluluskan sekarang. Lebih suara bersetuju,” kata Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Seri Ismail Mohamed Said.

Terdahulu RUU berita palsu berjaya melepasi bacaan kedua selepas undian belah bahagi dengan 123 wakil rakyat menyokong dan 64 menolak.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said mengumumkan beberapa perubahan pada RUU asal.

Perkataan “dengan sengaja” di Fasal 4 RUU itu digantikan dengan “berniat jahat”, dan tempoh hukuman penjara maksimum 10 tahun dikurangkan kepada 6 tahun.

Akta itu mentafsirkan berita tidak benar sebagai sebarang berita, maklumat, data dan laporan yang sebahagian atau sepenuhnya palsu, sama ada disiarkan dalam bentuk rencana, visual, rakaman audio atau bentuk lain.

Tiada ulasan: