Wartawan Watan-Online
Kementerian Pendidikan menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kes
sekumpulan pelajar sekolah memukul rakan sekelasnya yang dikatakan
tradisi sambutan ulang tahun hari lahir.
Bagaimanapun kementerian itu tidak menolak kemungkinan wujud elemen buli dalam kejadian berkenaan.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pihaknya
menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kejadian itu dan akan
memutuskan tindakan selanjutnya ke atas pelajar terbabit selepas
menerima laporan penuh.
“Saya tidak pasti sama ada betul ia satu tradisi, tetapi setakat ini,
kita tidak menolak kemungkinan ada elemen buli di sekolah itu,” katanya
kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Kolej Sultan Abdul
Hamid di Alor Setar, Rabu.
Mahdzir berkata demikian sebagai mengulas kejadian seorang pelajar
Tingkatan Lima sebuah sekolah di Shah Alam dipukul sekumpulan rakan
pelajar di dalam kelas, kononnya sebagai acara ‘tradisi’ sambutan ulang
tahun hari lahir.
Menerusi rakaman video berdurasi 29 saat yang tersebar di media
sosial, sekumpulan pelajar menyanyikan lagu ‘Happy Birthday to you’
sebelum memukul mangsa, termasuk menggunakan batang penyapu pada
Februari lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan