Khamis, 22 Februari 2018

Puncak Niaga gagal saman Azmin, Khalid dan kerajaan negeri

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan kerajaan negeri Selangor berjaya mengenepikan saman sebanyak RM14 bilion oleh Puncak Niaga Holdings Bhd.
 
Permohonan itu dibenarkan Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini, ekoran Puncak Niaga membuat tuntutan berhubung penstrukturan semula industri air di Selangor.
 
Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas mendapati pernyataan tuntutan Puncak Niaga adalah cacat dan tidak teratur serta bercanggah antara satu sama lain.
 
Mahkamah sehubungan itu memerintahkan supaya Abdul Khalid, Mohamed Azmin dan kerajaan negeri yang dinamakan sebagai defendan dibayar kos RM25,000 setiap defendan oleh Puncak Niaga.
 
Sementara itu, mahkamah menetapkan 13 Mac ini untuk membuat keputusan berhubung tuntutan balas Mohamed Azmin terhadap Puncak Niaga.
 
Pada 22 November lalu, Puncak Niaga mendakwa dalam proses pengambilalihan itu, Azmin dan Tan Sri Abd Khalid Ibrahim sebagai bekas menteri besar telah menyalahgunakan kuasa mereka, dengan memaksa kerajaan pusat menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air.
 
Syarikat konsesi air itu juga menerusi kenyataan dalam Bursa Malaysia semalam mendakwa kerajaan negeri 'bertanggungjawab di atas tindakan Khalid dan Azmin'.
 
Menerusi saman itu, Puncak Niaga menuntut ganti rugi, faedah ganti rugi dan perbezaan kos antara penilaian PNSB Water Sdn Bhd (dahulu dikenali sebagai Puncak Niaga (M) Sdn Bhd dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) pada RM2.08 bilion hingga RM2.35 bilion dan pertimbangan pembelian sebenar pada RM1.55 bilion di bawah perjanjian pembelian saham bertarikh 11 Nov 2014 antara Puncak Niaga dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd.
 
 

Tiada ulasan: