Khamis, 22 Februari 2018

Aktivis Adam Adli bebas tuduhan menghasut



Adam-Adli_law
Adam Adli Abdul Halim bersama peguam Gurdial Singh Nijar selepas keputusan mahkamah.


PUTRAJAYA: Aktivis Adam Adli Abdul Halim hari ini dibebaskan dari tuduhan menghasut atas satu ucapan “menggulingkan kerajaan” yang dibuatnya sejurus selepas pilihan raya 2013.

Panel 3 hakim diketuai Hakim Mohd Zawawi Salleh dalam membenarkan rayuan Adam berkata pensabitan tidak selamat kerana beberapa salah arah dari segi undang-undang.

“Salah arah-salah arah ini tidak boleh dipertahankan. Kami ketepikan pensabitan oleh hakim perbicaraan yang disahkan oleh Mahkamah Tinggi,” kata Zawawi tentang keputusan sebulat suara itu.

Panel itu disertai oleh Hakim Abdul Rahman Sebli dan Kamardin Hashim.

Pada 20 Disember 2016, Mahkamah Rayuan membebaskan bekas aktivisi pelajar Muhammad Safwan Anang atas dakwaan hasutan yang sama, iaitu didakwa menggesa orang ramai menggulingkan kerajaan melalui tunjuk perasaan.

Zawawi hari ini berkata Adam diarah membela diri bawah Seksyen 3(1)(a) Akta Hasutan 1948 iaitu mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja atau kerajaan.

Zawawi berkata Adam didapati bersalah mendatangkan kebencian terhadap pentadbiran keadilan, menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan rakyat raja dan mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum.

Adam didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen pada 19 September 2014 dan dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan.

Mahkamah Tinggi mengekalkan pensabitan Adam pada Februari 2016 tetapi menggantikan tempoh pemenjaraan dengan denda RM5,000.

Kerajaan membuat rayuan balas untuk meningkatkan hukuman yang boleh membawa daripada denda maksimum RM5,000 kepada 3 tahun penjara atau kedua-duanya.

Adam dan beberapa individu lain dituduh melakukan ucapan berbaur hasutan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor pada 13 Mei 2013, seminggu selepas pilihan raya umum ke-13 selepas Barisan Nasional kembali berkuasa.

Adam lega dengan keputusan hari ini dan berkata rakyat tidak perlu takut bersuara terhadap ketidakadilan yang dilakukan kerajaan.

“Kita tidak boleh putus harapan walaupun didakwa dengan kesalahan yang melanggar kebebasan bersuara,” katanya kepada pemberita.

Beliau berterima kasih kepada aktivis dan kumpulan masyarakat sivil atas sokongan moral dan pasukan peguam kerana persediaan cermat mereka dalam usaha mendapatkan kebebasan baginya.

Peguam Adam, Gurdial Singh Nijar berkata hasutan ialah pertuduhan yang serius kerana ia satu langkah sebelum kesalahan menderhaka.

“Polis dan pendakwaraya mesti berhati-hati dalam tindakan mereka sebelum seorang tertuduh didakwa di mahkamah,” katanya.

Gurdial berkata keputusan hari ini mengambil kira satu keseimbangan antara kebebasan bersuara dan ketenteraman awam mesti diusahakan.

“Rakyat berhak bersuara untuk membawa perubahan dan kerajaan tidak boleh memulakan pendakwaan jenayah dan melindungi dirinya daripada kritikan,” tambahnya.

Timbalan pendakwaraya Faizah Mohd Salleh dan Mohammad Azmi Mashud tampil bagi pihak kerajaan.

Gurdial berhujah Adam mesti dibebaskan kerana pertuduhan terhadapnya adalah cacat sementara Faizal berkata hakim perbicaraan dari segi undang-undang dan fakta apabila mendapati perayu bersalah.

Tiada ulasan: