Selasa, 12 Disember 2017

Kita Lawan: Perbicaraan tiga ahli PKR ditangguh

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan penangguhan prosiding perbicaraan ke atas tiga anggota PKR yang berdepan tuduhan berkaitan Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012.
 
Dua daripada mereka ialah anggota dewan undangan negeri, iaitu Chang Lik Kang (Teja, Perak) dan Lee Chean Chung (Semambu, Pahang) didakwa bersama Rozan Azen Mat Rasip mengambil bahagian dalam himpunan Kita Lawan pada Mac 2015.
 
Kebenaran itu diberi ekoran pengguguran tuduhan satu lagi perbicaraan membabitkan aktivis Adam Adli Abdul Halim dan Mohd Fariz Musa yang mengikut tuduhan sama tetapi didakwa secara berasingan.
 
Sebelum ini dalam kes Adam Adli, peguamnya cuba merujuk isu-isu berkaitan perlembagaan dalam kesnya ke Mahkamah Persekutuan tetapi pihak terbabit enggan membuat keputusan.
 
Ketua Hakim Negara ketika itu Tun Ariffin Zakaria berkata pihak pendakwa mesti terlebih dulu menentukan sama ada Adam Adli dan pemohon lain memang mengambil bahagian dalam protes jalanan.
 
"Kami tidak mahu menjawab soalan akademik," katanya semasa menyampaikan keputusan pada 10 Okt lalu.
 
Bagaimanapun Adam Adli dan Mohd Fariz dibebaskan pada 28 Nov selepas majistret Mahyudin Mohamad Som mendapati pendakwa gagal membuktikan kes prima facie ke atas tertuduh.
 
Tidak dapat dipastikan sama ada pendakwa membuat rayuan atas keputusan mahkamah majistret berkenaan.
 
Bagi kes Chang, Lee dan Rozan, mahkamah majistret sama ppada Ogos lalu mengarahkan ketiga-tiga mereka membela diri.
 
Ekoran perintah itu mereka memohon untuk merujuk isu berkaitan perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan dengan menegaskan sama ada Seksyen 4(1)(c), 4(2)(c), dan 4(3) PAA konsisten atau tidak dengan Perkara 8, 9 dan 10 Perlembagaan Persekutuan.
 
Seksyen 4(1)(c) berkaitan hak berhimpun tanpa senjata dan tidak sehingga membawa protes jalanan, manakala Seksyen 4(2)(c) membabitkan kesalahan untuk seseorang menganjurkan atau terbabit dalam protes jalanan.
 
Seksyen 4(3) melibatkan hukuman atas kesalahan mengikut PAA yang menyediakan denda sehingga RM10,000.
 
Perkara Article 8 menjelaskan hak-hak kesaksamaan, Perkara 9 berkenaan kebebasan bergerak manakala Perkara 10 membabitkan kebebasan bersuara, berkumpul dan berpersatuan.
 
Berbanding membuat rujukan kepada Mahkamah Persekutuan, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Azman Abdullah memutuskan untuk menunggu keputusan akhir Adam Adli.
 
Eric Paulsen bertindak sebagai peguam kepada Chang, Lee dan Rozan manakala Jaizah Jaafar Sidek serta Nadia Zulkefli bertindak sebagai timbalan pendakwa raya.
 
 

Tiada ulasan: