Jumaat, 20 Oktober 2017

Selangor sasar juara Sukma 2018


 

OLEH HAFIZAN TAIB


SHAH ALAM: Selangor menetap sasaran mengekalkan kejuaraan, pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 yang bakal diadakan di Ipoh, Perak, pada tahun depan.

Dengan perancangan dan persiapan rapi kontinjen, Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, Mohd Zubir Idrus berkata, sasaran itu realistik serta tidak mustahil untuk dicapai.

“Mengikut perancangan, memang kita sasarkan untuk menjuarai Sukma 2018 manakala Sukma 2016 di Sarawak, kita menetapkan sekurang-kurangkan naib juara kerana mahu mengatasi pencapaian menduduki tangga keempat di Sukma 2014 (Perlis).

“Maka, di Ipoh nanti kita memang harap mengekalkan kejuaraan dan cemerlang, pada kejohanan seterusnya,” katanya kepada SelangorKini.

Selangor muncul juara buat kali kesembilan dalam Sukma 2016 di Kuching, Sarawak tahun lalu, dengan kutipan 59 pingat emas, 73 perak dan 63 gangsa.

Selangor mencatat pencapaian cemerlang itu menerusi pelan pembangunan sukan induk berkonsep 2I iaitu “Incorporate And Integrate” sejajar dengan kemahuan Kerajaan Negeri menjadikan Selangor sebagai Smart State dalam bidang sukan.

Beliau berkata, Sukma adalah indikator kepada pembangunan sukan, di Selangor maka MSN Selangor banyak menumpukan kepada persediaan bagi menghadapinya.

Bagaimanapun katanya, MSN Selangor tidak mengabaikan pembangunan sukan di peringkat akar umbi dan tumpuan sepenuhnya diberikan bagi tujuan itu dalam pelan perancangan jangka panjang.

“Persiapan untuk Sukma 2018 bermula, pada Oktober tahun lalu bagi fasa pertama diikuti seterusnya fasa kedua (Januari hingga Ogos lalu) dan fasa ketiga (September hingga Mac tahun depan), manakala fasa terakhir pada April hingga menyertai kejohanan.

“Fokus pada fasa terakhir ialah bagi mewujudkan program pembinaan kepada atlet seperti aspek psikologi ke arah memantapkan mental termasuk menghantar sebahagiannya menjalani latihan di luar negara untuk pendedahan,” katanya.

Tiada ulasan: