Ahad, 29 Oktober 2017

Saya juga sebahagian daripada kerajaan negeri Selangor - Sallehen Mukhyi

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: ADUN PAS juga sebahagian daripada kerajaan negeri Selangor, justeru wakil rakyat parti berhak menggunakan gambar mereka pada mana-mana risalah program kerajaan negeri.
 
Itu penegasan ADUN Sabak, Sallehen Mukhyi selepas ditanya perihal seorang pemimpin Wanita PKR yang mempersoalkan tindakannya mempamerkan gambarnya pada sampul borang Skim Peduli Sihat.
 
Menurut Sallehen yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor, amalan penggunaan gambar untuk program kerajaan negeri sudah lama dipraktikkan sejak pembentukan Pakatan Rakyat (PR) lagi.
 
"Persoalannya meletak gambar pada satu kesalahan ke? Meletak gambar untuk program kerajaan negeri bagi seorang ADUN itu satu standard yang semua orang boleh terima. Ini bukan amalan baru, sudah lama. Meletak gambar pada program kerajaan negeri. 
 
"Cuba baca apa yang ditampal pada gambar itu. Memang jelas dinyatakan bahawa iu memang program kerajaan negeri. Bukan program saya. Sebagai seorang ADUN kita menyampaikan program kerajaan negeri, kita letak gambar disitu. Itu amalan biasa yang berlaku. ADUN PKR sebelum ini ramai buat program. Apakah ADUN ini bukan sebahagian daripada kerajaan?," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Terdahulu, Ahli Majlis Pimpinan Wanita PKR, Juwairiya Zulkifli menuduh Sallehen dengan sengaja mengelirukan rakyat apabila meletakkan gambarnya berserta lambang partinya pada sampul borang Skim Peduli Sihat.
 
Skim Peduli Sihat diperkenalkan Oktober tahun lalu merupakan inisiatif kerajaan Selangor membantu kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40), membiayai rawatan kesihatan asas sebanyak RM500 setahun.
 
Ujar Juwairiya, tindakan itu tidak profesional dan Sallehen tidak sepatutnya mencampur adukkan urusan parti dengan program kerajaan negeri.

Mengulas perkara itu, Sallehen berkata beliau dengan jelas menguar-uar skim tersebut adalah program kerajaan negeri dan tidak sesekali membayangkan kepada rakyat, bahawa ia dasar daripada PAS.   
 
"Kita beritahu sendiri bahawa program itu kerajaan negeri bukan kita. Kita beritahu pada masyarakat. Tidak pernah kita kata itu program PAS. Tidak ada.
 
"Tiada masalah isu gambar. Melainkan kalau kita kata atas nama jawatan politik. Gambar itu bukan isu bagi seorang ADUN dalam program kerajaan negeri," katanya.
 
Ujar Sallehen, jika benar tindakkannya adalah satu kesalahan, beliau menuntut agar polisi atau dasar membabitkan penggunaan gambar serta logo parti diselaraskan semula membabitkan semua pihak.
 
"Sekarang ini tidak ada satu polisi atau arahan yang jelas. Amalan-amalan itu kita sudah biasa guna sebelum ini. Yang realitinya bahawa PAS masih ada kerajaan negeri Selangor. Dia nak nafikan macam mana pun realitinya memang PAS memang ada dalam kerajaan negeri. 
 
"Cuma kalau sekiranya kalau tidak boleh kita mahu supaya polisi dibuat oleh kerajaan negeri. Jadi kerajaan negeri buat polisi untuk beritahu secara jelas takat mana yang boleh, lambang parti. Setakat mana boleh dan tidak boleh dalam program kerajaan negeri," ujarnya.
 
 
 

Tiada ulasan: