Sabtu, 21 Oktober 2017

Ketua Penerangan Umno akui BN hadapi masalah persepsi



Annuar Musa

Jentera Umno dan Barisan Nasional (BN) digesa agar tidak mengikut rentak pembangkang yang gemar mencetuskan sentimen, sebaliknya lebih memfokuskan terhadap fasa akhir persiapan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa berkata jentera BN khususnya Umno tidak boleh berlengah seolah-olah banyak tempoh masa berbaki malah perlu lebih memperkemaskan semua gerak kerja menjelang PRU14.
“Adalah penting sebagai parti yang mewakili kerajaan, kita nak tengok mesej, pemberitaan dan dasar parti sampai kepada rakyat kerana kita menghadapi masalah persepsi ketika ini. Bagaimana nak meyakinkan orang ramai kerana mereka lebih mudah menerima sentimen.
“Jentera BN dan pilihan raya mesti menganggap bahawasanya kita berada di fasa terakhir, katanya kepada pemberita selepas Program Transformasi Negara Beliawanis Parlimen Ketereh,” di Kem Bina Negara, dekat Alor Gajah, semalam.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Ketereh berkata sehubungan itu, jentera perlu memfokuskan kepada tiga elemen dalam usaha mengubah persepsi masyarakat iaitu mengupas falsafah dan dasar perjuangan parti, penekanan kepada sejarah kejayaan kerajaan dan barulah menjawab isu semasa.

Annuar yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno berkata jentera BN juga perlu lebih banyak menyampaikan dasar dan gerakan MIC, MCA, dan Gerakan secara bersama berdasarkan fakta dan sejarah, bukan Umno semata-mata seperti yang dilakukan pembangkang khususnya DAP.

Menurut beliau jentera BN kini diberikan garis panduan bagi portfolio kritikal supaya pegawai yang ditugaskan memberi penerangan dapat memastikan semua persiapan terakhir pilihan raya dilaksanakan secara kemas dan teratur.

“Apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membuat keputusan untuk membubar Parlimen jadi kita tahu rakyat tidak akan mengundi secara emosi dan isu yang dikitar semula oleh pembangkang sebaliknya berdasarkan fakta, falsafah, sejarah dan rekod prestasi,” katanya.

Tiada ulasan: