Khamis, 6 Oktober 2016

#WomensBoatToGaza: MyCare dakwa Israel putar belit

Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
Dr Hafidzi Mohd Noor


KUALA LUMPUR - Pengerusi MyCare, Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor mendakwa, Israel telah mencabuli undang-undang Maritim Antarabangsa berikutan penahanan bot Zaytouna- Olivia serta 13 orang aktivis di dalamnya.

Menurut beliau, Israel menggunakan istilah ‘blokage’ dalam usaha memperdayakan masyarakat antarabangsa sedangkan ia jelas merupakan satu penipuan.

[Artikel berkaitan: #WomensBoatToGaza: Media Israel dakwa tiada keganasan]

“Kesemua anak kapal datang dengan aman tanpa sebarang provokasi malahan tidak membawa senjata ataupun bantuan yang boleh disalah erti oleh pihak mereka.

“Kita dapat lihat dengan jelas bahawa terdapat pelanggaran hak asasi manusia di sini serta tindakan rejim tersebut jelas bertentangan dengan hak asasi manusia,” katanya dalam satu sidang media, hari ini.

Sementara itu, beliau juga sempat membuat tuntutan berhubung dengan pembebasan kesemua aktivis  yang ditahan di pelabuhan Ashdod dengan kadar segera.

“Kami ingin menggesa Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menggunakan peruntukan mereka dan menjamin keselamatan para aktivis sehingga mereka dibebaskan.

"Selain itu, kami juga mendesak PBB, Kesatuan Eropah dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk mengambil tindakan terhadap insiden ini serta mengutuk polisi Israel dengan mengenakan sekatan politik.

“Di samping itu, kami juga turut menggesa kerajaan Malaysia membuat usul tergempar mengecam tindakan Israel dan menyeru para NGO untuk terus bersatu mengukuhkan misi serta memecahkan sekatan terhadap Gaza,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, beliau juga turut menyeru pada semua rakyat Malaysia serta dunia memberi tekanan kepada Israel, menjayakan boikot terhadap produk-produk dan juga syarikat yang bersekutu dengan Israel.

Misi #WomensBoatToGaza yang disertai 13 wanita ternama dari pelbagai negara dan agama bermatlamat memberi tekanan kepada Israel agar menghentikan kepungan di Gaza.

Tiada ulasan: