Sabtu, 15 Oktober 2016

Umno jangan biar 'malapetaka' berulang

Umno jangan biar 'malapetaka' berulang
Hishammuddin memalu gong sebagai gimik perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kuala Nerus di Duyung Marina Resort, Pulau Duyong. - Foto Sinar Harian
 
 
KUALA TERENGGANU - Umno Terengganu diingatkan tidak sesekali membiarkan ‘malapetaka’ berulang di negeri ini pada PRU akan datang.

Peringatan itu ditegaskan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein kepada Umno Terengganu supaya peristiwa kejatuhan BN kepada Pas pada 1999 tidak berlaku pada PRU14, lebih-lebih lagi kedudukan BN Terengganu nyawa-nyawa ikan dengan hanya kelebihan dua kerusi Dun mengatasi pembangkang pada PRU lepas.

Beliau turut menggesa Umno Terengganu merapatkan barisan dan kesatuan dalam memastikan kerajaan BN kekal utuh pada PRU akan datang.

“Jangan kita tunggu malapetaka yang sama untuk bangkit semula. Inilah sebabnya saya mengingatkan kepada Umno Terengganu hari ini di Kuala Nerus bahawa pengalaman yang kita lalui sebelum ini menjadi sandaran sejarah dalam Umno.

“Pengalaman dan sejarah itu menjadikan kita lebih kuat dan matang dan itu satu perkara yang tidak ada pada parti-parti lain, lebih-lebih lagi parti-parti baharu yang ditubuhkan hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kuala Nerus di Duyung Marina Resort di Pulau Duyong di sini, hari ini.

Berdasarkan keputusan PRU lalu, Hishammuddin turut mengakui Umno Terengganu belum memasuki zon selesa namun tetap berbangga dengan semangat ditunjukkan Umno Terengganu ketika ini bagi menghadapi PRU14 akan datang.


Tiada ulasan: