Ahad, 9 Oktober 2016

Tips bagi anak makan ubat

MALAYSIA GAZETTE




Satu kerisauan kepada ibu bapa dan penjaga apabila anak kecil yang sakit tidak mahu makan ubat.

Bagi kanak-kanak di bawah usia 5 tahun, kebanyakan ubat-ubatan yang dibekalkan oleh fasiliti kesihatan adalah dalam bentuk cecair.

Semakin tinggi berat badan anak, semakin banyak kuantiti yang perlu diambil. Walau bagaimanapun ia bergantung kepada kekuatan (strength) ubat tersebut.

Anak kecil mempunyai naluri yang peka akan emosi orang di sekeliling mereka. Oleh yang demikian, penting bagi penjaga agar tidak menampakkan emosi negatif semasa memberikan ubat kepada anak-anak.

Beri puji-pujian dan kata-kata positif sebelum memberikan ubat. Fahami emosi anak anda dan tenangkan mereka sekiranya ada tanda-tanda emosi mereka terganggu.

Peluk dan usap anak-anak agar mereka tidak merasakan proses mengambil ubat itu adalah sesuatu yang menakutkan.

Jika perlu, alihkan perhatian mereka dengan menggunakan permainan atau memainkan video yang anak anda suka.

Elakkan diri anda daripada merasa tertekan semasa memberikan ubat-ubatan.

Bagi ibu bapa yang baru menerima cahaya mata pertama, perasaan tertekan akan lebih tinggi.

Kerisauan akibat kurang pengalaman ditambah lagi dengan tangisan anak yang nyaring dan rontaan yang kuat boleh meningkatkan lagi tekanan terhadap ibu bapa.

Masa yang sesuai untuk pemberian ubat amat penting. Waktu pagi ketika ibu bapa sedang bersiap sedia dan terkejar-kejar ke tempat kerja adalah antara waktu yang perlu dielakkan.

Minta bantuan daripada saudara-mara atau individu yang anda percaya sekiranya anda menghadapi kesukaran memberikan ubat kepada anak anda.

Walau bagaimanapun, sila pastikan arahan lengkap bertulis disediakan bagi mengelakkan berlaku kesilapan pemberian ubat.

Sesuaikan masa pemberian ubat kepada kanak-kanak Ibu bapa boleh berbincang dengan ahli farmasi bagi mendapatkan waktu pengambilan ubat yang optimum.

Malahan anda boleh memaklumkan kepada doktor yang merawat anak anda sekiranya anda menghadapi masalah dengan masa pengambilan ubat yang diberikan. Sekiranya bersesuaian, pilihan ubat yang lain akan dicadangkan oleh doktor. 

Sebagai contoh, jika ada ubat yang perlu diambil dua kali sehari masa yang sesuai adalah pada pukul 8 pagi dan 8 malam.

Elakkan jadual tidur anak anda yang sakit terganggu kerana ia akan lebih membuatkan mereka sukar menerima ubat-ubatan.
Antara perkara lain yang perlu ibu bapa ambil berat ialah : 

Maklumkan kepada doktor atau ahli farmasi jika anak anda tidak dapat menelan ubat atau anda menghadapi kesukaran dalam memberikan ubat cecair kepada anak yang sakit. Bagi anak-anak yang sudah boleh menelan, pil atau kapsul yang bersesuaian dengan dos ubat yang betul boleh diberikan. 

Terdapat ubat-ubatan yang mempunyai interaksi dengan makanan dan minuman sekiranya diberikan serentak. Tanya dan sentiasa bertanya dengan ahli farmasi anda sekiranya ada kemusykilan.

Ibu bapa harus mematuhi arahan pengambilan ubat dan sentiasa baca label ubat sebelum memberikan ubat kepada anak anda.
Ketahui kesan sampingan ubat-ubatan yang diambil bagi mengelakkan rasa panik oleh penjaga. 

Sentiasa berwaspada dengan kuantiti ubat yang diberikan. Sekiranya terdapat alahan ubat yang dialami oleh anak anda, bawa anak anda segera ke hospital atau klinik berhampiran.

Bawa bersama ubat-ubatan yang dibekalkan bagi memudahkan anggota kesihatan mengambil tindakan lanjut. 

Anak-anak adalah anugerah. Kesihatan mereka sangat bergantung kepada ilmu dan pengalaman ibu bapa serta penjaga yang mengendalikan anak-anak yang sakit.

Elakkan daripada merasa putus asa dan memandang remeh akan pengambilan ubat yang betul. 

Norvena binti Hisyam adalah seorang pegawai farmasi yang bekerja di Jabatan Kesihatan Negeri Melaka.- MalaysiaGazette


Tiada ulasan: