Rabu, 19 Oktober 2016

Tindakan Campak Ular Spontan, Bukan SOP Latihan - Shahidan

MSTAR ONLINE
 
 
 
 
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana, Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, tindakan mencampak ular ke dalam kolam semasa latihan bina diri di Kuala Kangsar, Perak baru-baru ini dilakukan secara spontan dan bukannya mengikut prosedur operasi standard (SOP) latihan berkenaan.

Beliau berkata, penggunaan seekor ular sawa pendek yang tidak agresif dalam latihan itu dilakukan buat pertama kalinya di luar pengetahuan pihak pengurusan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri Perak dan ibu pejabat APM.

"Saya difahamkan jurulatih berkenaan berbuat demikian dengan niat meningkatkan keberhasilan modul latihan itu. Modul latihan tiada masalah, cuma ia adalah penambahan yang dibuat oleh jurulatih.

"Kita akui ia satu tindakan yang tidak patut (dilakukan)," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Parlimen di sini, Rabu.

Beliau mengulas satu rakaman video berdurasi lebih dua minit yang tersebar di media sosial dan mendapat kritikan netizen apabila beberapa murid di dalam kolam berselut itu menangis dan menjerit setelah jurulatih latihan itu mencampakkan ular ke dalamnya.

Rakaman itu juga menunjukkan beberapa anggota APM menyiram air dan menyergah pelajar sepanjang modul itu berlangsung.

Seramai 45 murid dari sebuah sekolah rendah di Kuala Kangsar menyertai latihan berkenaan di perkarangan pejabat APM Kuala Kangsar.

Shahidan berkata, dari 2012 sehingga 2016, sebanyak 23 sekolah dengan 1,622 peserta telah menjalani latihan berkenaan, yang bertujuan mengukur tahap kerjasama kumpulan, pematuhan arahan dan komunikasi dalam kalangan peserta.

Ditanya sama ada latihan modul bina diri itu perlu dibubarkan susulan insiden itu, beliau berkata adalah tidak adil untuk membuat sebarang keputusan hanya berdasarkan kepada satu insiden semata-mata.

"Adalah tidak adil untuk menggantung serta-merta modul bina diri murid berkenaan. Kita perlu mengambil pendapat semua pihak terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: