MALAYSIAKINI
Selepas kontroversi minggu lalu, Kumpulan Syarikat Richworks
menjelaskan bahawa penceramah motivasi Azizan Osman memiliki gelaran
doktor daripada sebuah universiti di Amerika Syarikat (AS).
Richworks berkata Azizan mempunyai kelulusan doktor sains (metafizik)
daripada Universiti Gordon, Bradenton, Florida, AS sejak 2009.
Malah, beliau juga dikatakan telah memenuhi syarat untuk sebuah lagi
gelaran doktor falsafah (psikologi) dari Universiti Hertfordshire,
United Kingdom (UK).
“Konvokesyen beliau di Universiti Hertfordshire dijangka berlangsung dalam masa yang terdekat,” menurut kenyataan itu.
Minggu lalu, Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
dan Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (IUKL) menegaskan tidak pernah
menganugerahkan gelaran ijazah kehormat doktor keusahawanan kepada
Azizan.
Sementara itu, berkaitan isu ijazah doktor kehormat Universiti Malaya
(UM), Richworks mendakwa Azizan telah “disasarkan dan diperdayakan oleh
pihak-pihak yang bukan wakil universiti tersebut”.
“Kami telah pun membuat laporan polis dan perkara ini sedang disiasat,” kata Richworks.
“Semasa proses siasatan dalaman yang kami telah jalankan baru-baru
ini, kami telah menjumpai beberapa kelemahan serius berkenaan
prosedur-prosedur operasi kami.
“Malangnya, kelemahan ini telah menyebabkan penggunaan ijazah
kedoktoran dari Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur dan Universiti
Kebangsaan Malaysia sebagai rujukan kepada Dr Azizan Osman yang tidak
pernah beliau akui.”
Katanya, sebagai sebuah organisasi, mereka amat khuatir dengan
keadaan itu dan telah melaksanakan “pelan komprehensif” untuk
membetulkan keadaan dengan segera.
Dalam kenyataan hari ni, Richworks berkata mereka kesal dengan
kekeliruan dan kesulitan yang telah timbul berkaitan dengan status
kelayakan Azizan.
Justeru, katanya, penjelasan itu dibuat untuk “memperjelaskan
kemusykilan yang telah timbul dan menyingkirkan apa-apa ketidakpastian”.
Semakan Malaysiakini setakat petang 29 September mendapati
laman web Richworks memperkenalkan Azizan diperkenal sebagai pemilik
“PhD (Hon) Entrepreneurship (UM)”.
Azizan turut terkenal sebagai usahawan dan penulis.
Malah, beliau dikatakan pernah mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai penganjur seminar motivasi terbesar di Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan