Ahad, 9 Oktober 2016

Skandal 1MDB perlu selesai agar Malaysia capai sasaran negara bebas rasuah

Lim Kit Siang1

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Walaupun pemberkasan dua pegawai kerajaan di Sabah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini berjaya, Malaysia tidak akan mampu mencapai sasarannya menjadi antara 30 negara terbaik dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang 2020.

Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang, berkata ia berikutan skandal mega 1MDB yang memasyhurkan nama Malaysia sebagai ‘kleptokrasi global’ di mata dunia masih tidak selesai sehingga ke hari ini.

“Operasi terbesar SPRM itu tidak akan cukup untuk membalikkan trend Malaysia diambil alih oleh negara-negara lain khususnya di Asia kecuali kerajaan bersedia menghadapi masalah skandal antarabangsa 1MDB,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Ketua Parlimen DAP itu, jika Malaysia gagal menyekat aliran menurun dalam CPI dan tidak menyelesaikan isu 1MDB, kedudukan Malaysia akan diambil alih oleh Indonesia dan China dalam tempoh 10 tahun ini.

Beliau berkata, kedua-dua negara tersebut berada di kedudukan tercorot dalam CPI sejak 1995 namun berjaya melonjak dengan cepat, berbeza dengan Malaysia yang mengalami kemerosotan.

Malaysia menduduki tempat 50 dalam Indeks Persepsi Rasuah 2014, namun telah jatuh empat anak tangga ke tempat 54 pada tahun lalu.

Walau bagaimanapun, Kit Siang mengucapkan tahniah kepada SPRM kerana berjaya melakukan operasi penangkapan melibatkan harta lebih dari RM114 juta itu dan memuji agensi berkenaan atas usaha mereka membasmi rasuah di negara ini.

Pada masa sama, beliau bersetuju dengan bekas ahli panel penasihat SPRM, Tan Sri Robert Phang bahawa ada kemungkinan wujud orang politik pada peringkat tertinggi di sebalik dua pegawai kanan Jabatan Air Sabah tersebut.

Phang baru-baru ini berkata adalah sukar untuk mempercayai bahawa pengarah dan timbalan pengarah Jabatan Air Sabah itu berjaya menyelewengkan jutaan ringgit tanpa kerjasama dari pihak atasan.

“Mereka cuma pegawai biasa. Oleh itu, kita cenderung untuk mengandaikan mereka bertindak bagi pihak ahli politik tertentu, kerana tiada siapa yang sedia menawarkan jumlah sebegitu besar kepada pegawai biasa.

“Biasanya hanya ahli-ahli politik atau mungkin menteri yang mempunyai peluang dan kuasa untuk meluluskan sebarang bentuk permohonan di dalam negeri,” kata Phang kepada media sebelum ini.

Kedua-dua pegawai itu adalah antara empat suspek yang ditahan oleh SPRM bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa yang melibatkan projek infrastruktur bernilai RM3.3 bilion. – Roketkini.com


Tiada ulasan: