Rabu, 19 Oktober 2016

Shafie Apdal kurangkan peluang Sabah jadi PM


 
Oleh SUBKY LATIF


MUNGKIN sehingga ini belum ada sesiapa dari Sabah dan Sarawak jadi PM dan Timbalan Perdana Menteri. Tetapi politik tidaklah menutup peluang itu. Cuma penampilan politik mereka belum membuka peluang itu.
     
Selepas Tun Datu Mustapha dan Tun Patinggi Abdul Rahman Ya'kub, Datuk Shafie Apdal adalah calon yang ada bintang itu. Melalui Umno dulu dia sudah ada di tangga yang ketiga kepada TPM dan keempat ke PM.
   
Tanpa jadi Umno anak Tunku dan anak Tun Razakpun tak akan merasa.
   
Jika Umno itu masih releven dan Shafie lurus politiknya, dia mungkin anak Malaysia Timur yang pertama mendekati takhta kuasa itu.
   
Tetapi sekarang jadi Umno seribu tahun belum ada jaminan.
   
Apapun peluang bagi oang Sabah dan Sarawak jadi PM terletak pada parti politik yang merangkumi tiga wilayah itu. Selepas terpencil dari Umno peluang itu mungkin ada jika menjadi sebahagian parti yang Mahathir tubuh atau lain-lain yang bercabang di Sabah dan Sarawak.
  
Mana tahu kalau Bersatu diizin Allah TS Muhyiddin jadi PM. Kalau Shafie menaja parti itu bersama Dr Mahathir dipercayai dia Timbalan Presidennya, bukan Mukhriz. Kerana dia lebih kanan semasa dalam Umno dulu.
   
Tetapi Shafie tertarik kepada partinya sendiri untuk orang Sabah. Ia dirasanya memberi peluang lebih baik berada dalam parti politik nasional.
   
Dia mungkin jadi Ketua Menteri yang kuasanya besar tapi kurang peluang jadi PM, kerana PM adalah dari parti yang menguasai nasional. Parti Shafie sekadar di Sabah. Tapi kalau jadi orang penting dalam politik nasional, peluang sentiasa terbuka, cuma nasib saja yang menentukan.
  
Tun Mustapha Datu Harun pernah jadi Ketua Menteri Sabah yang pengaruhnya sebesar Tunku yang jadi PM dan Tun Razak yang jadi TPM. Tunku ada pandangan tinggi terhadapnya. Tunku pernah memberitahu pelajar kita di London, jikaTun Razak tiada pengganti yang jelas, Tun Mustapha adalah calon terbaik.
   
Demikian juga Tun Rahman Ya'kub. Geliga politiknya menyaingi Ghafar Baba, Dr Mahathir, Musa Hitam dan Tengku Razaleigh. Jika semua nama itu disebut layak jadi calon PM, Tun Rahman juga layak. Kalau tidak jadi Perdana Menteri, kedua mereka merasa lebih selesa dan berpengaruh jadi Ketua Menteri di wilayah masing-masing.
   
Sekalipun Ketua Menteri juga segelemur PM, tetapi kedudukan Ketua Menteri ditentukan bergantung hubungan selesa dengan PM. Sehandal Tun Mustapha, PM Tun Razak yang sudah tidak sebulu dengannya berdaya mempermainkannya. Tun Rahman Ya'kub juga Ketua Menteri yang susah disentuh. Apabila PM Hussein Onn tidak ngam dia digantikan dengan KM lain.
   
Dr Mahathir juga tidak digemar oleh Tunku dan pun tidaklah elok sangat dengan PM Hussein. Tetapi kerana Mahathir berada dalam parti yang sama dengan Tunku dan Tun Hussein, Mahathir ada peluang merebut kekuasaan.
  
Kurang ghairah politik pemimpin dari Sabah dan Sarawak, adalah kerana belum merasa jadi PM dan TPM. Kalau sudah merasa, tidaklah terasa rendah diri.
   
Jika Shafie sabar dan tawakal, peluang jadi pimpinan tinggi dalam politik persekutuan, boleh mendekatkan peluang orang dari wilayah timur itu ke kerusi PM dan TPM. Sekadar bos politik di wilayah macam yang Shafie tumpu mengurangkan peluangnya dan melepaskan peluang bagi Sabah dan Sarawak.

Tiada ulasan: