Rabu, 12 Oktober 2016

Saya bantah pihak mahu buat kasino di Pulau Pinang - Reezal


Reezal Merican Naina Merican
Reezal Merican Naina Merican


UMNO Bahagian Kepala Batas dengan sekeras-kerasnya menolak sebarang cadangan oleh mana-mana pihak atau sesiapa jua untuk mewujudkan kasino di Pulau Pinang.

Itu tegas Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

"Selagi saya menjadi Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas dan Ahli Parlimen Kepala Batas, saya akan pastikan tiada sebuah pun kasino akan wujud di atas bumi Pulau Pinang.

"Cadangan Penang Front Party untuk mewujudkan sebuah kasino di Pulau Pinang sekiranya mereka menang dalam Pilihanraya Umum ke-14 adalah cadangan yang dangkal dan tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat tempatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Timbalan Menteri Luar itu, perjudian bukan budaya rakyat Malaysia, khususnya rakyat Pulau Pinang.

"Saya yakin dan percaya majoriti rakyat Pulau Pinang yang bukan Islam pun menolak sebarang aktiviti perjudian kerana ia adalah racun yang boleh merosakkan keluarga dan masyarakat," tegasnya lagi.

Menurutnya, Pulau Pinang adalah negeri yang kaya dengan produk pelancongan dan tidak memerlukan kasino atau pusat-pusat perjudian untuk menarik lebih ramai pelancong asing.

"Saya ingin menyatakan dengan terang dan jelas bahawa UMNO tidak ada sebarang kaitan secara langsung atau tidak langsung dengan Penang Front Party. Penglibatan Datuk Zahidi Zainul Abidin sebagai Penasihat PFP adalah atas kapasiti peribadinya sendiri dan tidak mewakili parti UMNO," katanya.--MalaysiaGazette


Tiada ulasan: