Ahad, 23 Oktober 2016

Rawatan RM1 tak dihapus, cuma ada penambahbaikan

doktor


ULU KINTA - Pelaksanaan Perkhidmatan Pesakit Bayar Penuh (FPP) di hospital kerajaan bukan bertujuan untuk memansuhkan perkhimatan rawatan kesihatan bersubsidi sepertimana dakwaan segelintir pihak sebelum ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahya berkata, fokus perkhidmatan FPP adalah untuk memberi peluang kepada pesakit mendapatkan rawatan pakar secara khusus selain menikmati beberapa kemudahan di wad eksekutif, kelas satu, atau yang setaraf.

"FPP terarah kepada pesakit yang mampu untuk membayar kos perubatan tanpa subsidi kerajaan. Mereka turut dibenarkan memilih pegawai perubatan pakar selain kemudahan yang diberi bergantung kepada sumber, kepakaran dan fasiliti.

"Namun, pelaksanaan ini tidak akan menjejaskan sama sekali perkhidmatan rawatan bersubsidi di mana bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM1 dan seminimum RM30 sekiranya memasuki wad," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Konvokesyen 2016 Institusi Latihan Kementerian Kesihatan di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu (KSKB) Sultan Azlan Shah, di sini, hari ini.

Menurutnya, selain perkara itu, tujuan FPP diperkenalkan kepada Pegawai Perubatan Pakar adalah bagi mengurangkan penghijrahan mereka ke hospital swasta.

Katanya, skim gaji merupakan antara faktor utama yang menyebab penghijrahan itu berlaku.
"Skim gaji memang tak sama sepertimana ditawarkan hospital swasta. Jadi, bagi mengekalkan dan menambahkan pendapatan, kita benarkan mereka uruskan FPP," katanya.

Baru-baru ini, surat pelaksanaan FPP disebarkan melalui media sosial Facebook telah mengundang tanggapan negatif orang ramai kononnya perkhidmatan rawatan bersubsidi yang disediakan Kementerian Kesihatan sebelum ini, dimansuhkan.


Tiada ulasan: