Khamis, 6 Oktober 2016

Penagih dadah acu parang pada anggota AADK

MALAYSIAKINI


Seorang penagih dadah mengacu parang kepada beberapa anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Perak di Lumut malam tadi sebelum dia melarikan diri.

Pengarah AADK Perak, Khairul Anwar Ahmad berkata suspek yang berumur 20-an itu terlebih dahulu memanjat bumbung rumahnya selepas menyedari kehadiran anggota AADK kira-kira pukul 10 malam.

"Suspek yang merupakan seorang penganggur kemudiannya mengacu dan melibas parang yang dipegangnya menyebabkan anggota kami tidak berani memasuki rumah berkenaan.

"Anggota kami cuba memasuki kembali rumah itu, tetapi mendapati suspek telah melarikan diri ke dalam semak samun di kawasan sekitar dan usaha sedang dibuat untuk mengesannya," katanya dalam sidang media di Lumut hari ini.

Beliau berkata 68 individu diperiksa sepanjang operasi itu yang bermula pukul 6 pagi semalam hingga tengah hari tadi dan 26 daripadanya didapati positif dadah.

Sementara itu dua lelaki ditahan kerana positif dadah dalam Ops Bersepadu di beberapa lokasi di sekitar Teluk Intan hari ini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Wan Hassan Wan Ahmad berkata kedua-dua suspek yang berusia 23 dan 42 tahun itu masing-masing merupakan pemandu dan kelindan lori.

Di Kangar pula, dua pegawai AADK Perlis cedera manakala seorang lagi patah tulang pipi akibat bergelut dan terjatuh ketika meyerbu sebuah pondok yang dijadikan sarang penagihan dadah di kawasan Beseri malam tadi.

Pengarah AADK Perlis, Azizah Ahmad berkata kejadian berlaku ketika pegawainya sedang menjalankan Ops Aduan 29/2016 bagi membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah di sekitar kawasan Kampung Abi Batas Paip dan Taman Beseri Paya bermula pukul 11 malam.

"Pegawai AADK yang berusia 24 dan 32 tahun itu cedera ketika cuba bergelut dalam usaha menahan beberapa orang penagih dadah yang cuba melarikankan diri dari pondok berkenaan," katanya.

Beliau berkata kedua-dua pegawai itu kemudiannya dibawa ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Azizah berkata dalam serbuan itu, seramai empat remaja berusia antara 13 hingga 18 temasuk dua di bawah umur ditahan kerana didapati positif dadah jenis Methamphetamine.

"Dua daripada empat remaja berkenaan yang berusia 13 dan 14 tahun yang ditahan itu sudah tidak bersekolah dan bertindak sebagai tokan dengan menjalankan aktiviti pengedaran dan jual-beli dadah dalam kalangan rakan-rakan mereka," katanya.

Beliau berkata imodus operandi terbaru pembekal dadah ialah menjadikan remaja sebagai pengedar kecil-kecilan.

"Kedua-dua suspek turut menjadikan pondok kecil bersebelahan rumah salah seorang daripada mereka sebagai tempat melepaskan gian bersama rakan penagih yang lain," katanya.- Bernama

Tiada ulasan: