Jumaat, 7 Oktober 2016

Pas tetap utamakan Gagasan Sejahtera

Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man


SHAH ALAM - Pas akan mengutamakan Gagasan Sejahtera yang disertai Parti Ikatan berbanding gabungan dengan parti-parti politik lain di negara ini.

Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebarang bentuk kerjasama dengan mana-mana parti politik baharu seharusnya dapat diterima oleh parti dalam Gagasan Sejahtera sebagaimana yang dipersetujui dalam muafakat  dimeterai sebelum ini.

“Oleh itu, sebarang ura-ura kerjasama Pas bersama mana-mana parti baru adalah tidak rasmi sehingga adanya kenyataan rasmi bersama Gagasan Sejahtera,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, semalam.

Kelmarin, Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan memaklumkan parti Islam itu menolak mana-mana parti politik yang mendukung dan bekerjasama dengan DAP.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim memberitahu, Pas sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti baharu yang sudi memperjuangkan matlamat selari dengan Gagasan Sejahtera.

“Setakat ini, Pas akan pertahankan kerusi tradisi parti yang kebanyakannya bertembung dengan Umno, dengan segala kemampuan yang ada," katanya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim memaklumkan, kewujudan pelbagai parti baharu menjelang pilihan raya adalah satu fenomena di mana sistem demokrasi dalam negara semakin rancak.

Namun begitu, beliau tetap mengingatkan setiap parti seharusnya fokus dalam menyediakan jentera terlebih dahulu sebagai strategi pilihan raya yang paling utama sebelum memikirkan soal kerusi.

“Pas akan terus menggerakkan jentera parti dengan kemampuan yang sedia ada selain kesungguhan kerja para ahli serta petugas,” katanya.


 

Tiada ulasan: