Rabu, 5 Oktober 2016

Pas Terengganu tidak setuju cadangan PPBM tanding kawasan BN menang-

 
Dr. Azman Ibrahim
Dr. Azman Ibrahim


Cadangan tidak waras, kata Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Pas Terengganu, Dr. Azman Ibrahim berhubung cadangan Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) diberi laluan bertanding di kawasan Barisan Nasional (BN).

Beliau antara satu-satunya pemimpin Pas yang setakat ini tidak bersetuju dengan cadangan Presiden PPBM itu, sambil menyifatkan pertandingan sesebuah parti dalam Pilihan Raya Umum (PRU) adalah suatu yang serius, bukan boleh dipermainkan.

Dr. Azman turut mempersoalkan siapa Muhyiddin untuk membuat cadangan itu, sedangkan PPBM adalah sebuah parti yang baharu ditubuhkan.

"Belum pun sampai setahun jagung (penubuhan PPBM) sudah mencadangkan itu ini, termasuk yang tidak masuk akal iaitu nak bertanding kawasan dimenangi BN.

"Cadangan itu tidak waras. PPBM letak calon pun belum tentu dapat kalahkan calon BN,” katanya.

Menurut Dr. Azman, beliau mempunyai pengalaman bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi, Kuala Terengganu melawan calon BN dan menyifatkan tidak semudah itu untuk PPBM mengalahkannya.

"Pas ada cawangan, markas, jentera dan ada program yang berterusan di kawasan BN, tapi bila bertanding (Pas) tak pernah menang. Inikan pula parti baharu seperti PPBM," katanya.

Muhyiddin ketika berucap di Kemaman malam kelmarin dilaporkan berkata, partinya sedia bekerjasama dan berunding dengan Pas termasuk pembahagian kerusi pilihan raya.

Kata bekas Timbalan Perdana Menteri itu, PPBM bukan hendak mengambil alih kerusi yang sudah dimenangi Pas, tetapi kerusi yang dimenangi UMNO itu diberikan kepada partinya.

Menurut Dr. Azman, beliau secara peribadi membantah cadangan itu, tetapi menyerahkan kepada pimpinan peringkat pusat untuk mencari kaedah terbaik untuk parti dan ahli. - MalaysiaGazette


Tiada ulasan: