Selasa, 4 Oktober 2016

Mustahil Pas akan bertahaluf dengan rakan DAP, tegas Pemuda Amanah

ARIF ATAN

Pakatan HarapanPakatan Harapan


Pakatan Harapan harus bijak membaca hala tuju politik Pas dan mengambil iktibar daripada pengkhianatan parti itu terhadap kepercayaan rakyat sebelum ini, kata Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Faiz Fadzil.

Menurutnya, rakyat mulai sekarang perlu diberi pemahaman untuk menyokong perjuangan Pakatan Harapan dalam membela rakyat dengan meninggalkan sama sekali Pas yang pernah memusnahkan blok pembangkang, Pakatan Rakyat.

“Pas terang-terang menolak untuk bertahaluf dengan DAP. Mustahil pada masa sama mereka akan bertahaluf dengan rakan tahaluf DAP pula termasuk Amanah dan PKR,” tegasnya merujuk kepada kenyataan Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi yang sanggup kehilangan DAP sebagai rakan politik parti itu.

Khalil dalam ucapannya di Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) 2016, di Kemaman, 30 September lalu berkata, Pas lebih sayangkan Islam daripada rakan politik walaupun pihak lain menganggap tindakan parti itu memutuskan hubungan dengan DAP sebagai tidak cerdik.

Sehubungan itu, Faiz menyeru semua parti pembangkang dalam koalisi Pakatan Harapan yang komited untuk menggantikan BN sebagai kerajaan alternatif pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) supaya mengambil serius kenyataan terbaharu Khalil berkenaan.

“Kenyataan tersebut menggambarkan bahawa pertembungan tiga penjuru tidak dapat dielak. Jika Pakatan Harapan dapat bersatu hati dan komited dengan tawaran terbaik kepada rakyat, saya percaya rakyat akan dapat memilih calon yang mewakili Pakatan Harapan.

“Mereka itu sama ada Amanah, PKR atau DAP dalam PRU14 dan menolak calon BN serta Gagasan Sejahtera anjuran Pas. Oleh itu, masa yang semakin suntuk ini harus Pakatan Harapan gunakan untuk menyusun strategi dan merangka polisi bersama yang terbaik untuk ditawarkan kepada rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut mengenai pendirian politik Pas, Faiz menyifatkan Pas hanya bergantung kepada isu pindaan Akta 355 untuk menyambung nyawa Umno-BN yang sudah pasti akan dimanipulasi atas sentimen sempit agama.

“Persempadanan semula yang menyaksikan pertambahan pengundi mengikut kaum bagi sesuatu bahagian pilihan raya akan dijadikan mainan politik Umno-BN dengan cara memanipulasi sentimen perkauman.

“Permainan politik sebegini amat merbahaya kepada masa depan negara kerana boleh mencetuskan permusuhan kaum dan negara pula akan terus diperintah oleh kleptokrasi,” tegasnya lagi.

Tiada ulasan: