Jumaat, 7 Oktober 2016

Jangan ‘main-main’ dengan laporan polis, kata Cenbet

MALAYSIAKINI


Kumpulan pejuang pembaharuan, Centre For A Better Tomorrow (Cenbet) mahu tindakan keras diambil terhadap mereka yang membuat laporan polis ‘main-main’ dengan agenda politik dan bukannya atas sebab-sebab munasabah sehingga membazirkan sumber polis.


"Polis perlu bertindak terhadap mereka yang membuat laporan berdasarkan alasan rapuh semata-mata untuk mencapai matlamat politik.

Ini adalah untuk membendung peningkatan trend laporan polis digunakan untuk segala-galanya tetapi bukan untuk mengesan penjenayah atau pencegahan jenayah.

"Mereka yang membuat laporan ‘main-main’ dan bermotifkan politik ini berbuat demikian dengan mengorbankan wang dan sumber pembayar cukai. Sedangkan, polis terpaksa bertungkus lumus memerangi jenayah," kata Naib Presiden, Cenbet, Ng Yeen Seen.

Katanya, laporan polis ‘main-main’ itu hanya berdasarkan "maklumat" yang membentang imaginasi seseorang adalah sama seperti tidak menghormati penguat kuasa undang-undang.

"Mereka tidak boleh dianggap sebagai alat politik untuk menakut-nakutkan dan melemahkan lawan politik seseorang," hujahnya, sambil menambah bahawa mengheret polis dalam sandiwara politik adalah satu penghinaan kepada institusi awam yang penting, dan juga kepada Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, sejak akhir-akhir ini ratusan laporan kontroversi dibuat, daripada dakwaan sebuah gabungan NGO diresapi oleh kumpulan pengganas IS, komplot tiga Tan Sri yang mahu menggulingkan kerajaan dan dakwaan ketidakadilan pemberian pencen kepada pemenang pingat Olimpik.

Ng turut menamakan presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) Abdul Rani Kulup yang membuat ratusan laporan polis.

Sebagai contoh laporan yang tidak diperlukan itu, katanya adalah tindakan Abdul Rani yang meminta kerajaan mengharamkan permainan mudah alih Pokemon Go di Malaysia.

"Di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan, mereka yang didapati bersalah membuat laporan polis berdasarkan maklumat palsu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya,” katanya.

Tiada ulasan: