Rabu, 19 Oktober 2016

IKAT PERUT NAJIB DULU, BAJET 2017 ADALAH "BAJET MISKIN"

shahbudindotcom



Apabila Najib Razak mengarahkan para menteri untuk menghadapi masa terkehadapan yang lebih mencabar dan bersedia "mengikat perut"  dengan mengambil kira keperluan perbelanjaan kementerian masing-masing, ia dengan sendirinya membayangkan Bajet 2017 yang dibentangkannya  Jumaat ini adalah "bajet miskin."

Najib secara sedar mengakui negara sedang kekurangan wang dan oleh yang demikian, perbelanjaan kementerian-kementerian akan mengalami pemotongan yang ketara pada tahun hadapan.

Memotong atau mengurangkan perbelanjaan kementerian bermakna semakin kuranglah peruntukan yang diberikan kepada rakyat melalui program pembangunan dan perkhidmatan yang disediakan.

Jika selama ini sudah banyak perkhidmatan dan program pembangunan untuk rakyat yang dipotong kerana negara kekurangan wang seperti kemudahan perubatan, bekalan ubat-ubatan dan lain-lainnya, bermakna pada tahun depan lebih banyak lagi yang bakal dipotong dan dikurangkan.

Wajarkah hanya peruntukan kementerian yang dipotong dan menteri-menteri saja yang diminta berjimat-cermat?
Kalau pun perbelanjaan kementerian harus dipotong, Najib seharusnya kekal memberi memberi keutamaan kepada perkara-perkara yang melibatkan kepentingan rakyat, khususnya berkaitan kesihatan dan pendidikan.

Bagaimana dengan peruntukan untuk Jabatan Perdana Menteri sendiri, adakah ia akan dipotong juga?

Begitu dengan peruntukan untuk Perdana Menteri, akan adakah terma-terma tertentu yang akan dikurangkan atau ia berjalan sebagaimana biasa seperti zaman mewah dahulu?

Akan ada lagikah sewa khas jet dilakukan untuk membolehkan "First Lady kita" terbang ke sana ke mari untuk menghadiri program atau menerima anugerah atas nama Permata?

Jika Najib benar-benar memahami maksud perkataan wassatiyah yang selalu disebutnya,  sementara beliau mahukan para menteri berjimat cermat dan "mengikat perut", perkara itu perlulah dilakukan olehnya sendiri terlebih dahulu.

Tidak bermakna langsung kiranya hanya perbelanjaan kementerian, yang bermaksud perbelanjaan untuk rakyat saja yang dipotong, tetapi perbelanjaan untuk Jabatan Perdana Menteri dan Perdana Menteri masih kekal seperti biasa.

Memang diakui banyak juga perbelanjaan untuk Jabatan Perdana Menteri yang disalurkan kepada rakyat, tetapi tidak dinafikan sebahagiannya adalah tidak perlu, malah suatu pembaziran.

Contohnya, jawatan penasihat kerajaan bertaraf menteri. Sebelum ini ada 9 penjawat jawatan berkenaan, tetapi kini hanya tinggal lapan orang setelah Noh Omar dijadikan menteri penuh dalam rombakan kabinet baru-baru ini.

Antara mereka yang bergelar penasihat dengan segala kemudahan sebagai menteri itu  ialah Samy Vellu, Shahrizat Jalil, Rais Yatim serta beberapa yang lain.

Apakah peranan dan sumbangan penasihat kerajaan bertaraf menteri itu kepada rakyat, selain semata-mata bertujuan untuk memberi gaji dan elaun kepada mereka yang sudah pun sedia kaya dan mempunyai banyak wang?

Oleh itu, sesuai dengan masa terkehadapan yang lebih sukar yang disebut sendiri oleh Najib, beliau seharusnya memansuhkan terus jawatan tersebut, selain perlu juga mengurangkan perbelanjaan keraian yang tidak perlu serta yang mewah-mewah melibatkan dirinya yang biasa diadakannya selama ini.

Dalam hal ini, Najib harus jujur kepada dirinya sendiri dengan sedia bersama-sama untuk "mengikat perut", sesuai dengan era susah negara yang sebahagian puncanya adalah disebabkan kepimpinan serta kelemahannnya sendiri.

Tiada ulasan: