Selasa, 11 Oktober 2016

IDE: Rakyat yakin Pakatan Harapan kekal di Selangor

Oleh Nadia Hanafi


SHAH ALAM : Rakyat Selangor yakin Pakatan Harapan mampu kekal mentadbir Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).

YAKIN-500x282

Sebanyak 43% sokongan diperolehi berdasarkan tinjauan yang dijalankan Institusi Darul Ehsan (IDE), selaku badan pemikir Kerajaan Selangor ke atas pengundi di negeri itu.

Menurut hasil tinjauan yang dibentangkan Timbalan Pengerusi IDE, Prof Dr Mohammad Redzuan Othman, hanya 18 peratus lagi memilih ‘tidak’ dan 39 peratus memilih ‘tidak pasti’.

Redzuan berkata, kajian itu mendapati, 78% pengundi teruja untuk mengundi pada PRU 14 dan hanya 22 peratus sahaja tidak teruja. Situasi ini menunjukkan rakyat masih berminat kepada senario politik di Malaysia.

“Dengan ini kita nampak bahawa mereka masih berminat dengan politik. Tidak betul kenyataan yang mengatakan rakyat Malaysia sudah tidak berminat dengan politik.

“Ini juga membuktikan masyarakat masih mahu terlibat dalam proses demokrasi,” katanya pada sidang media di Hotel Carlton, di sini.

Selain itu, pengundi di Selangor juga gembira dengan pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali apabila 55% majoriti menerimanya sebagai MB yang dilantik pada 2014 berbanding 16% sahaja responden tidak bersetuju.

Mereka juga turut berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan Majlis Daerah, Perbandaran dan Bandaraya di mana sebanyak 60% menjawab ‘ya’ berbanding tahun lalu – 59%, dan hanya 26% berkata ‘tidak’ dan 14% lagi ‘tidak pasti’.

“Konteks Kerajaan Negeri Selangor, perkhidmatan PBT semakin diterima dan semakin dianggap sebagai perkhidmatan yang memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Ia memenuhi citarasa pengguna atau mereka yang terlibat,” kata Redzuan yang juga Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel).

Kajian IDE itu dibuat pada 26 Ogos hingga 30 Ogos lalu, membabitkan 1,761 pengundi daripada 56 kawasan pilihan raya di Selangor.

Tiada ulasan: