Selasa, 4 Oktober 2016

‘Hantu dalaman’ membuka jalan kepada PATI?

pati-sivakumar

Oleh V. Sivakumar


Kerajaan gagal menguruskan sumber manusia negara secara bijak. Ia mengakibatkan jutaan pekerja asing telah membajiri negara ini. Sehingga hari ini, kerajaan tidak mempunyai satu jalan penyelesaian yang konkrit bagi mengatasi masalah sumber manusia yang dihadapi.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa ramai di kalangan penganggur di negara ini terlalu memilih kerja.
Tetapi, itu tidak boleh dijadikan sebagai satu alasan untuk melambakkan pekerja asing di tanah air ini.

Dalam keadaan wujud pengangguran yang ketara di negara kita, pekerja-pekerja asing pula dengan mudah dapat menembusi pasaran buruh. Keadaan ini boleh menghancurkan pembangunan sosio-ekonomi negara apabila majikan-majikan lebih suka menyusukan kera di hutan.

Kerajaan kita tidak mempunyai kawalan dan pengawasan yang baik untuk menghalang kemasukan pekerja asing terutamanya mereka yang datang ke negara kita secara haram.

Ada sumber-sumber yang mengatakan bahawa negara kita mempunyai lebih kurang 4 juta pendatang asing tanpa izin (PATI).

Bagaimana begitu ramai orang asing memasuki negara kita secara haram, sedangkan kita mempunyai banyak agensi pelaksana seperti Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Imigresen dan macam-macam lagi?

Adakah kerajaan Malaysia terlalu cuai atau sengaja membenarkan mereka ini memasuki negara kita dengan agenda tertentu? Kehadiran jutaan pendatang asing di negara kita adalah amat membimbangkan. Kemasukan mereka secara tidak terkawal adalah amat membahayakan keselamatan rakyat Malaysia.

Kerajaan Barisan Nasional pula berpura-pura ‘tidur’ dalam hal ini. Apabila seorang PATI berjaya melangkah masuk negara kita, ini bermakna dia telah berjaya membutakan semua agensi-agensi penguatkuasa yang telah diberi kewajiban untuk menjaga ibu pertiwi ini. Bukankah kedaifan ini amat memalukan serta menjatuhkan imej negara?

Kerana rasuah negara kita sedang menuju kepada kehancuran. Saya percaya rasuah juga merupakan punca utama kemasukkan PATI yang begitu ramai di negara kita. Pegawai-pegawai yang melakukan rasuah telah gagal melaksanakan tanggungjawab mereka. Kerajaan Barisan Nasional yang lemah pula sentiasa menafikan amalan rasuah di dalam agensi-agensi penguatkuasa. Akhirnya segala-galanya telah rosak dan rakyat pula terseksa.

Sepanjang tahun 2001 sehingga 2015 seramai 4545 orang majikan telah ditangkap atas kesalahan menggaji pekerja asing tanpa permit kerja. Seramai 347 orang majikan telah didakwa di mahkamah dan didapati bersalah kerana menggaji pekerja asing sepanjang tahun 2010 hingga 2015.

Menghukum majikan yang tidak menghormati atau mengikuti undang-undang negara adalah satu perkara yang perlu dilakukan. Tetapi, persoalanya, siapakah yang membenarkan PATI memasuki negara kita? Saya percaya mereka ini berjaya memasuki negara kita dengan kerjasama dan bantuan daripada ‘hantu-hantu dalaman’. – Roketkini.com

* V.Sivakumar merupakan Ahli Parlimen Batu Gajah merangkap Timbalan Pengerusi DAP Perak



Tiada ulasan: