Selasa, 11 Oktober 2016

Guan Eng seru PAS selepas bimbang BERSIH 5 tak dapat sokongan - Penganalisis

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng khuatir BERSIH 5 tidak mendapat sambutan dan atas sebab itulah beliau menyeru agar pihak yang dahulunya menyokong himpunan itu agar kembali berbuat demikian.
 
Penganalisis politik, Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed berpendapat DAP dan parti pembangkang yang lain sedar BERSIH, BERSIH 2.0 dan BERSIh 3.0 boleh dianggap berjaya kerana PAS menggerakkan bilangan ahli yang ramai untuk turut serta dalanm himpunan itu.
 
BERSIH 4.0 menyaksikan penyertaan peserta himpunan turun secara mendadak selepas PAS membuat keputusan tidak menyertainya. 
 
BERSIH 4.0 juga dilaporkan berakhir dengan agak hambar sekaligus menerbitkan persoalan, apakah kejayaan yang diraih pihak penganjur.
 
"Guan Eng mempunyai kebimbangan ia tidak mampu menarik lebih ramai penyokong terutamanya di kalangan masyarakat Melayu dan penyokong PAS. 
 
"Himpinan Bersih sebelum ini berjaya menarik ramai orang, terutamanya di kalangan masyarakat Melayu. Kebanyakan mereka ini didapati penyokong PAS. Namun apabila PAS sudah mula berkonflik dengan DAP, kita lihat banyak program yang diterajui DAP mahupun Bersih yang ada kaitan dengan DAP, kita dapati PAS mula menjauhi diri dan meminta penyokong mereka tidak menyertai himpunan itu," katanya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
 
Terdahulu Guan Eng dilaporkan mengajak pihak yang sebelum ini pernah menyokong BERSIH untuk kembali berbuat demikian sebagai persediaan kepada pilihan raya umum yang bersih.
 
Ujarnya walaupun wujud perbezaan perjuangan politik namun pihak berkenaan diharap dapat bersama semula dalam memastikan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang dapat diadakan dengan adil.
 
PAS hari ini menyatakan pendirian partinya untuk tidak menyertai Himpunan BERSIH 5, atas alasan pertubuhan itu mempunyai objektif tersendiri dan tidak selari dengan partinya.
 
 

Tiada ulasan: